PEMBEKAL kelapa tua termenung di atas longgokan kelapa tua yang tidak terjual di Kampung Paya Rajin.
Roselan Ab Malek


Jerantut: Lambakan kelapa tua diimport dari Indonesia dan Thailand sepanjang Ramadan dan Aidilfitri menyebabkan pendapatan pembekal tempatan terjejas teruk.

Tinjauan mendapati kelapa tua tempatan tidak dapat dijual kerana harga bekalan import lebih murah, sekali gus menjadi pilihan orang ramai dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan Aidilfitri.

Pembekal kelapa tua dari Kampung Paya Rajin, Husain Samat, 73, berkata, pendapatannya pada Ramadan tahun ini merosot teruk berbanding sebelum ini apabila hanya dapat menjual 500 biji dalam tempoh 10 hari.

“Ramadan sebelum ini, saya mampu menjual 500 biji kelapa tua sehari dengan harga RM2 sebiji. Tahun ini sambutan orang ramai berkurangan.

“Saya hanya bergantung dengan hasil penjualan kelapa tua sebagai punca pendapatan utama.

“Saya beli kelapa pada harga RM1 sebji dari pekebun sekitar Jerantut, Raub dan Jengka, selain itu upah kupas, memanjat dan minyak lori ditanggung sendiri.

“Jika kelapa tak laku atau dijual pada harga murah, saya menanggung kerugian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Dianggarkan ada 10 pengusaha dan pembekal kelapa tua di Kampung Paya Rajin dan mereka mengalami nasib sama dengan Husain.

Pembekal lain, Nawang Hassan 50, pula berharap kerajaan dapat membantu pembekal kelapa tempatan itu dengan mengutamakan hasil dari dalam negara.

“Saya harap kerajaan, terutama Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membantu memasarkan kelapa tua kami supaya tidak mengalami kerugian.

“Jika kelapa tua ini dibiar dan disimpan terlalu lama serta bercambah tunas menyebabkannya tidak lagi laku dijual sebagai kelapa tua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 10:27 AM