MOHD Basri (dua dari kanan) melihat kawasan tadahan air  Bukit Segantang, Sungai Lembing yang tercemar disebabkan aktiviti pembalakan. -Foto MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang memutuskan untuk meminda pindaan pelan kelulusan lesen pembalakan di kawasan tadahan air penduduk di Bukit Segantang, Sungai Lembing, dekat Jerantut.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, tindakan berkenaan dilakukan

bagi memastikan sumber air dapat terus kekal selain menjamin kebersihan dan bebas daripada keladak tanah terutama setiap kali hujan.

Beliau berkata, pihaknya bertindak demikian selepas memikirkan kepentingan masyarakat

setempat yang menjadikan air daripada kawasan tadahan terbabit sebagai sumber untuk aktiviti

harian mereka.

Katanya, kawasan berkenaan berstatus tanah kerajaan bukan hutan simpan atau hutan dara

seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini hingga menimbulkan salah faham pelbagai pihak.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pembalakan Syarikat Sintamas Timber yang

diberi kelulusan melakukan pembalakan, kita memutuskan dengan mengubah kedudukan pelan

supaya tidak termasuk dalam kawasan tadahan air itu.

“Ia sekali gus diharap kawasan tadahan berkenaan yang dikatakan digunakan sejak lebih 50 tahun lalu bebas daripada berlakunya pencemaran hingga menjejaskan sumber air

penduduk setempat,” katanya, hari ini.

Beliau juga berkata, Timbalan Pengarah Operasi jabatan itu, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf dan Pegawai Pejabat Hutan Kuantan, Pekan dan Maran, Ismail Ali Kamarudeen bersama

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS)Pahang, wakil penduduk dan syarikat

pembalakan melawat kawasan terbabit.

Mohd Hizamri berkata, hasil lawatan dan perbincangan dengan wakil penduduk dan

syarikat pembalakan keputusan meminda pelan di kawasan tadahan air diputuskan tanpa masalah.

Katanya, jabatan menetapkan zon penampan di sepanjang Sungai Kuala Kenau dan melarang

syarikat pembalakan melakukan aktiviti menebang pokok di kawasan terbabit bagi mengelak

berlakunya pencemaran dan hakisan.

“Saya menasihatkan kepada wakil penduduk supaya segera membuat permohonan untuk mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan sumber air bagi memastikan tidak berlaku pembangunan pada masa akan datang.

“Bagi pihak jabatan, kita akan membuat cadangan kepada jawatankuasa peringkat daerah

untuk mewartakan aliran sungai dan kolam terbabit sebagai tadahan air bagi memastikan

kawasan berkenaan kekal dan tidak diganggu pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, penduduk mendakwa mereka terpaksa menggunakan air keruh dan berkeladak

untuk kegunaan seharian termasuk menyediakan hidangan berbuka puasa dan bersahur selepas aktiviti pembalakan berlaku di kawasan hutan Bukit Segantang.

Lebih 100 penduduk di Kampung Kuala Kenau kesal apabila selepas sumber air mereka tercemar sejak beberapa minggu lalu dipercayai berpunca dari aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran.

Mereka bergantung kepada sumber air dari kawasan tadahan air Bukit Segantang kira-kira dua kilometer dari kampung berkenaan memandangkan tidak semua rumah mempunyai bekalan air bersih dari Pengurusan Air Pahang (PAIP).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 11:49 AM