Muhammad Yusri Muzamir

LELAKI maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh sebuah lori di Jalan Tetembok, Gelugor di Georgetown, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, mangsa, Koay Kean Teong, 28, maut ketika tiba di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kenderaan dipandu Kean Teong dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan yang dipandu dari Jalan Masjid Negeri di sini, menghala ke Jambatan Pulau Pinang itu remuk sepenuhnya selepas merempuh bahagian hadapan sebuah lori di laluan bertentangan.

“Pemandu lori terbabit, Mohd Roszaman Mohamad Ismail, 34, luka di kaki kiri dan kini dirawat di HPP, manakala pemandu kereta disahkan maut sebaik tiba di unit kecemasan hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 11:34 AM
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit akibat mengalami kemalangan di Jalan Tetembok Gelugor, Pulau Pinang, malam semalam. FOTO/MIKAIL ONG
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat sedang melakukan kerja menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit akibat mengalami kemalangan di Jalan Tetembok Gelugor, Pulau Pinang, malam semalam. FOTO/MIKAIL ONG
Digital NSTP Subscribe