SULTAN Sharafuddin berkenan bertemu Anwar (kanan) dan ditemani Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) di Istana Bukit Kayangan. FOTO/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
SULTAN Sharafuddin berkenan bertemu Anwar (kanan) dan ditemani Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) di Istana Bukit Kayangan. FOTO/MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
Tharanya Arumugam


KETUA Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan langkah kerajaan Persekutuan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia (THM) sebagai tindakan bijak.

Tabung berkenaan adalah bagi membolehkan rakyat negara ini menyumbang wang bagi menangani masalah hutang negara.

Beliau turut menyatakan sokongannya berikutan keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membatalkan projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan dengan sokongan dan aspirasi rakyat. Kami menemui masalah utama dalam bentuk hutang yang besar dan wang yang diselewengkan.

“Justeru, ia adalah langkah bijak yang diambil Kabinet dan Perdana Menteri untuk sekurang-kurangnya memohon kepada rakyat untuk menyokong usaha ini,” katanya kepada media selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama, Anwar berharap dengan pembatalan HSR, ia tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura.

“Kerajaan membuat keputusan. Saya sudah tentu menyokong keputusan itu. Tetapi saya fikir hubungan dua hala yang baik dan mesra perlu dikekalkan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata keputusan Malaysia itu berikutan kos projek berkenaan yang tinggi.

Sebelum itu, pemimpin nombor satu negara itu menyatakan projek HSR yang dianggarkannya bernilai RM110 bilion, tidak diperlukan dan tidak menguntungkan negara.

Perdana Menteri berkata, pembatalan projek yang membabitkan laluan kereta api laju sejauh 350 kilometer yang menghubungkan kedua-dua ibu negara akan membantu mengurangkan hutang keseluruhan negara, yang dikatakan melebihi RM1 trilion.

Pada masa sama, rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada THM bagi menangani masalah hutang negara boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 566010626452. Sumbangan berkenaan hanya boleh dibuat dalam bentuk Ringgit Malaysia saja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 4:53 PM