MANGSA banjir di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai berbincang mengenai persiapan masing-masing untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
MANGSA banjir di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai berbincang mengenai persiapan masing-masing untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SERAMAI 73 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Bagan Serai semakin resah apabila sudah masuk hari keempat mereka terpaksa meninggalkan rumah akibat bencana itu.

Mereka bimbang persiapan untuk menyambut Syawal akan terjejas kerana belum sempat membeli barang dan pelbagai keperluan lain.

Malah, ada antara mereka terpaksa menolak tempahan kuih dipesan pelanggan berikutan banjir.

Mangsa banjir, Zaliza Basri, 43, berkata dia tidak sempat menyediakan sebarang kelengkapan raya untuk tiga anaknya berikutan terpaksa menghuni PPS.

Katanya, kebiasaannya dia membuat persiapan awal bagi menyambut Aidilfitri termasuk menyediakan pakaian baru dan kuih raya.

“Memandangkan banjir kali ini berlaku dalam bulan puasa, saya langsung tidak sempat menyediakan keperluan berkenaan.

“Barangan dan kelengkapan seperti kain untuk dibuat baju raya sekeluarga semua sudah dibeli, namun semuanya tidak dapat disiapkan memandangkan keadaan banjir semakin buruk dan sudah hari keempat kami empat beranak berada di sini.

“Begitu juga dengan kuih raya yang ditempah adik-beradik dan jiran tidak dapat disiapkan, malah saya memutuskan untuk menolak tempahan terbabit kerana keadaan banjir ini,” katanya ketika ditemui di PPS berkenaan, hari ini.

Zaliza berkata, selain persiapan raya, dia turut bimbang dengan keadaan rumahnya di Kampung Matang Tengah, Changkat Lobak, Alor Pongsu, di sini.

Katanya, anaknya yang pulang jam 10 pagi kelmarin terserempak dengan ular tedung selar di dalam rumah.

“Kejadian itu memeranjatkan kami sekeluarga dan kini kami bimbang sekiranya terdapat binatang berbisa menghuni kediaman sewaktu banjir ini,” katanya.

Mangsa lain, Ramlah Saad, 68, berkata sepanjang menjadi mangsa banjir sejak lebih 20 tahun lalu, ini kali pertama pengalamannya berada di PPS ketika Ramadan.

Beliau mengakui kejadian itu menyebabkan dirinya terkilan kerana belum dapat menyediakan kuih muih untuk tujuh anak dan 15 cucunya.

“Kebiasaan banjir berlaku antara Oktober hingga Disember, namun kali ini berlaku di luar jangkaan apatah lagi dalam bulan puasa.

“Sebenarnya sudah tidak sabar rasa untuk menyambut hari raya bersama anak dan cucu, namun banjir ini sedikit sebanyak menenggelamkan perasaan itu.

“Jika keadaan berterusan, saya dan ahli keluarga terpaksa menerima hakikat jika terpaksa berhari raya di sini atau di rumah dalam keadaan banjir,” katanya.

Seorang lagi mangsa banjir yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Taiping, Norashimah Shafie, 31, berkata sejak berpindah lokasi kerja dari Hospital Selayang lapan tahun lalu, ini kejadian pertama banjir dihadapi bersama tiga anaknya.

Katanya, dia sudah empat hari tidak dapat bekerja, namun majikannya sudah sedia maklum dengan permasalahan dihadapinya.

Dalam pada itu, keadaan banjir di Bagan Serai semakin membimbangkan berikutan taburan hujan tidak menentu disusuli keadaan air laut pasang.

Sehingga 3 petang hari ini, seramai 135 mangsa dari 35 keluarga dipindahkan ke dua PPS termasuk di SK Alor Pongsu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 11:19 PM