ANGGOTA bomba mengemaskini maklumat operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa dikhuatiri lemas di Sungai Poi, Nanga Ulin, Kanowit. -Foto IHSAN BOMBA.


KEMERIAHAN sambutan Gawai Dayak bertukar tragedi apabila tiga sekeluarga dikhuatiri lemas di Nanga Ulin, Sungai Poi, di Kanowit, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu berlaku ketika salah seorang mangsa, Presley Tataw, 27, dikatakan membawa anak saudaranya, Rederict Benedict Rody, 12, mandi di sungai di hadapan rumah panjang mereka.

Bagaimanapun, ketika sedang mandi, mereka dihanyutkan arus.

Abangnya, Henry Tataw, 28, yang kebetulan berada di luar rumah panjang mereka mendengar jeritan adik dan anak saudaranya lalu terjun ke sungai untuk menyelamatkan mereka.

Bagaimanapun, arus deras menggagalkan usahanya dan ketiga-tiga mereka hilang dibawa arus.

Timbalan Ketua Bomba Zon 4, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kanowit, jam 5.37 petang, semalam.

Berikutan itu katanya, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik bersama enam anggotanya disertai dua anggota polis dikerah ke lokasi.

“€œPerjalanan melalui jalan darat hanya sampai ke Rumah Panjang Menalun dan anggota kemudiannya menaiki bot yang memerlukan masa perjalanan selama dua jam untuk sampai ke Nanga Ulin.

“€œHujan lebat menyukarkan operasi dan pencarian terpaksa ditangguhkan pada jam 6.30 petang semalam sebelum diteruskan hari ini,”€ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 12:33 PM