ZAHAR (dua dari kiri) memeriksa perbarisan anggota dalam pemeriksaan Kit Inspection tahunan di BBP Alor Setar. FOTO/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mengenal pasti lebih 70 kawasan di negeri ini sering dilanda banjir kilat akibat limpahan air sungai berhampiran setiap kali hujan.

Timbalan Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, antara yang dikenal pasti ialah empat kawasan di Alor Setar, manakala Langkawi (15), Aman Jaya dan Sungai Petani (sembilan) serta masing-masing tiga kawasan di Baling, Sik, Kuala Nerang dan Serdang.

Turut dikenal pasti ialah masing-masing dua kawasan di Guar Chempedak dan Bukit Kayu Hitam selain lima kawasan masing-masing di Yan dan Tikam Batu.

Beliau berkata, namun sepanjang bulan ini, kawasan Kulim dan Serdang kerap berlaku banjir kilat berikutan hujan lebat hingga mengakibatkan 1,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke tempat selamat.

“Saya nasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan yang berisiko dilanda banjir kilat supaya berhati-hati dan melakukan persiapan awal untuk berpindah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di Sungai Kob, Kulim baru-baru ini, dua beranak ditemui lemas dalam kejadian itu dan mayat mereka ditemui keesokannya oleh pasukan bomba dan penyelamat yang melakukan pencarian sejak hari kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Pemeriksaan Kit Inspection dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anggota dan Pegawai di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, semalam.

Pemeriksaan itu dilakukan terhadap 78 anggota bagi memastikan peralatan seperti baju api, kasut, sarung tangan, topi penyelamatan dan celoreng dalam keadaan baik untuk memantapkan lagi tugas penyelamatan.

Mohd Zahar berkata, pemeriksaan itu adalah yang ke-12 dilakukan di 18 BBP di negeri ini dan bertujuan untuk memastikan anggota tidak mempunyai masalah alat kelengkapan ketika operasi.

Dalam pada itu, Mohd Zahar turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi kawasan air terjun ketika hujan bagi mengelak kejadian kepala air.

Katanya, ini kerana fenomena kepala air berlaku secara tiba-tiba dengan air deras yang membawa ranting kayu dan dahan pokok dari atas bukit.

“Berdasarkan rekod tahun lalu, tujuh mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kepala air di empat lokasi iaitu empat mangsa di Hutan Lipur Lubuk Semilang di Langkawi, Puncak Janing, Kuala Nerang (satu) dan Air Terjun Telaga Tujuh di Langkawi (dua).

“Selain itu, 16 mangsa pula berjaya diselamatkan iaitu enam mangsa di Air Terjun Batu Hampar di Yan, manakala Pusat Rekreasi Tupah di Merbok (lapan) dan Air Terjun Temurun Jalan Datai di Langkawi (satu).

“Untuk tahun ini pula, dua mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian kepala air di Sungai Kuala Sedim di Kulim dan Telaga Tujuh di Langkawi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebagai persediaan menghadapi banjir dalam keadaan cuaca tak menentu, hanya 20 peratus daripada 759 anggota dan pegawai dibenarkan bercuti sempena sambutan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 2:38 PM