KAPAL Diraja KD Kelantan.
KAPAL Diraja KD Kelantan.
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Kapal Diraja (KD) Kelantan dipindahkan ke Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Sabah bagi memperkasakan keselamatan perairan negeri itu dan Sarawak.

Kapal berkenaan sebelum ini ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Barat di Pangkalan TLDM Lumut dan dipindahkan ke Markas Pemerintahan Armada Timur selepas penyerahan KD Selangor pada Januari lalu.

Pemangku Panglima Armada Barat Laksamana Pertama Abu Bakar Mohd Ajis berkata, ia dilakukan bagi mengikut arahan perpindahan Skuadron Kapal Ronda Ke-17 selaras dengan Transformasi 15-5 dan kesinambungan memperkukuhkan kewujudan pemerintahan dua wilayah iaitu Armada Barat dan Armada Timur.

Menurutnya, perpindahan skuadron ini ke Armada Timur adalah bagi memperkasakan dan menampung keperluan aset TLDM di sana yang mempunyai kawasan operasi luas dan mencabar.

“Seperti yang dirancang penyerahan KD Kelantan mengikuti KD Selangor yang sudah diserahkan terlebih dahulu dan harapannya setiap tugas operasi yang akan dilaksanakan di Armada Timur akan lebih mantap selepas ini.

“Penyerahan KD Kelantan dijangka dapat meningkatkan tahap keselamatan di sana selain mengubah imej dan memberi nafas baru kepada Armada Timur dan TLDM khasnya dalam misi memperkukuhkan pertahanan perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelepasan Tali KD Kelantan sempena Pelayaran dan Perpindahan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Pangkalan TLDM Lumut di sini, semalam.

Abu Bakar berkata, pihaknya berbangga dengan seluruh warga KD Kelantan yang sentiasa memberikan sokongan kepada Markas Pemerintahan Armada Barat dalam mempamerkan mutu dan kualiti bagi pelaksanaan operasi dan eksesais serta pembabitan dalam acara di Pangkalan TLDM Lumut.

“Terima kasih kepada KD Kelantan yang berjaya melaksanakan misi dan tanggungjawab ketika berkhidmat di Markas Pemerintahan Armada Barat

“Tidak kira di mana sahaja kita berada pengalaman dan ilmu yang diperoleh di sini amat berharga dan perlu dikongsi bersama di sana (Armada Timur),” katanya yang berharap warga KD Kelantan dapat menimba pengalaman baharu dalam beroperasi di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, warga KD Kelantan turut diharapkan sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi bagi mengekalkan prestasi dan menentukan kesiagaan kapal sentiasa di tahap terbaik.

Majlis itu adalah simbolik pelayaran akhir KD Kelantan di bawah pemerintahan Markas Pemerintahan Armada Barat dan secara rasminya diserahkan kepada Markas Pemerintahan Armada Timur di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah.

Penyerahan KD Kelantan juga membabitkan 36 keluarga yang turut sama menetap dan berpindah ke Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu.

Dua lagi kapal iaitu KD Pahang dan KD Terengganu pula dijangka dipindahkan pada tahun depan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 7:28 AM