Klang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor menyeru peniaga meletakkan harga sebelum dan selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kadar sifar.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, ia bagi memastikan tiada sebarang kekeliruan timbul serta memudahkan pengguna yang datang ke premis mereka.

“Dalam peperiksaan hari ini (semalam), kami berpuas hati dengan pelaksanaan GST kadar sifar yang terkawal di sini. Sebelum ini, kami sudah hantar pegawai dan juga anggota memantau dan mengutip beberapa harga jenis barang untuk kami buat pemeriksaan.

“Harga itu diambil bertujuan untuk membandingkan harga barang sebelum dan selepas GST pada kadar sifar. Kami bandingkan dan mendapati memang ada penurunan harga iaitu semuanya sudah pada paras GST sifar,” katanya kepada pemberita.


ISKANDAR Halim (dua kanan) diiringi Ketua Pengarah Kastam Selangor, Sarip Ismail (kanan) memeriksa harga barang yang dijual ketika Operasi Catut 4.0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 8:27 AM