Shamsul Bokhari (kiri) menerima kelapa yang dijual Zakir di kedai runcitnya di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah.
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my

Alor Gajah: “Ibarat tolak batu dan besi bagi orang kelaparan, begitu juga dengan saya yang sanggup membeli kelapa walau apa pun saiznya,” kata peruncit Shamsul Bokhari Abdul Ghani, 53, mengenai kesukaran mendapatkan bekalan kelapa.

Menurutnya, sukar untuk dapatkan bekalan kelapa kerana persaingan dengan kalangan peniaga santan dan yang terbabit dalam perusahaan membuat kuih serta makanan lain.

Katanya, kesukarannya dan peniaga lain mendapatkan bekalan kelapa terutama menjelang Aidilfitri dua minggu lagi boleh menjejaskan perniagaannya.

“Walaupun perayaan itu masih jauh, saya tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan bekalan, sebaliknya akan membeli kelapa tanpa mengira saiz sama ada yang dibekalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) atau individu lain.

“Ramai yang menganggap tidak sukar mendapatkan bekalan kelapa di kawasan luar bandar, hakikatnya tanggapan itu salah kerana jumlah pokok kelapa semakin berkurangan akibat di tebang untuk membolehkan pembangunan dilaksanakan.

“Menjelang Aidilfitri, kelapa menjadi seolah-olah seperti emas kerana permintaan yang melambung tinggi,” katanya ketika ditemui di kedainya di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah di sini, semalam.

Shamsul Bokhari berkata, dia membeli kelapa yang sudah dikupas daripada individu pada harga antara RM1.40 hingga RM1.60 sebiji, manakala bagi kelapa belum dikupas pada harga RM1 sebiji dan dijual pada harga RM2 sebiji.

“Jika sudah diparut pula, saya jual pada harga RM2.50 sebiji dan saya mengalu-alukan sesiapa saja yang ingin menjual kelapa kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Zakir Awaluddin, 49, berkata, dia memetik kelapa menggunakan galah di kawasan rumahnya di Kampung Ayer Hitam Darat sebelum dijual kepada peniaga runcit termasuk Shamsul Bokhari.

“Daripada membiarkan kelapa itu gugur begitu saja, lebih baik saya kait untuk dikupas dan dijual.

“Hari ini saya mengait 52 biji kelapa untuk dikupas dan dijual kepada Shamsul Bokhari, dengan jualan itu dapatlah saya menambah duit poket untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 9:20 AM