Luqman Arif Abdul Karim


SEBANYAK 71,315 kereta pelbagai jenama termasuk Honda yang dipanggil balik ke pusat penyelenggaraan susulan masalah beg udara tidak boleh memperbaharui cukai jalan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, langkah drastik menerusi perintah larangan berkuat kuasa serta-merta itu terpaksa diambil kerana statistik merekodkan lapan kes berpunca daripada kepincangan beg udara Honda, sejak 2014.

Selain itu, katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarahkan menghubungi Honda dan syarikat pengeluar kereta berkaitan yang mempunyai masalah beg udara, mulai Isnin ini.

“JPJ akan menyerahkan maklumat alamat semua pemilik kereta Honda, khususnya 71,315 orang yang masih tidak tampil ke pusat penyelenggaraan untuk menukar beg udara.

“Langkah ini perlu kerana 21.5 peratus daripada 332,458 kereta Honda, keluaran 2003 hingga 2013 masih menggunakan beg udara jenis Takata yang lama, sekali gus mengundang risiko kepada pengguna.

“Saya sangat sakit hati apabila mengetahui kemalangan yang berpunca daripada masalah seumpama ini,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa melawat waris mendiang Pong Hou Tien, 23, yang meninggal dunia di tempat kejadian, dekat Taman Len Sen selepas kereta dipandunya terbabas melanggar tiang lampu.

Ketika kejadian, mangsa yang juga pelajar tahun akhir jurusan kewangan ekonomi sebuah universiti swasta di sini, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah keluarganya di Damai Perdana, Cheras selepas menonton perlawanan bola di sebuah restoran mamak.

Punca kematian dikenal pasti berpunca daripada kerosakan beg udara sebelah tempat duduk penumpang yang menyebabkan besi sepanjang dua sentimeter terpelanting dengan kadar kelajuan tinggi sehingga menembusi leher mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 1:32 PM
LOKE Siew Fook (tengah) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kanan) pada sidang media ketika melawat Pong Yew Loon, (kiri), waris mangsa kemalangan. FOTO Saifullizan Tamadi
LOKE Siew Fook (tengah) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Seri Shaharuddin Khalid (kanan) pada sidang media ketika melawat Pong Yew Loon, (kiri), waris mangsa kemalangan. FOTO Saifullizan Tamadi