EZUMI Harzani Ismail
Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim dan Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kelonggaran penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan terhadap hospital kerajaan berbanding hospital swasta menyebabkan keadaan premis berkenaan tidak memenuhi ciri keselamatan ditetapkan.

Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Ar Ezumi Harzani Ismail berkata, hospital swasta terikat dengan undang-undang tegas yang jika gagal mematuhinya, mereka tidak dibenarkan beroperasi.

“Ia berbeza dengan hospital kerajaan, biarpun tiada Sijil Perakuan Siap Dan Pematuhan (CCC) dan Sijil Perakuan Bomba (FC), ia masih dibenarkan beroperasi. Ini menyebabkan faktor keselamatan diabaikan,” katanya mengulas mengenai laporan didedahkan akhbar ini mengenai hospital tidak selamat.

Menurutnya, PAM mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan bagi mengimbangi undang-undang berkaitan keselamatan seperti diperuntukkan kepada hospital swasta dalam mewujudkan persekitaran selamat di hospital kerajaan seluruh negara.

“Benar, hospital swasta berunsurkan komersial berbanding hospital kerajaan yang berorientasikan sosial tanpa keuntungan.

“Namun, itu tanggungjawab kerajaan dalam mewujudkan satu bangunan yang selamat untuk semua orang,” kata Ezumi ketika ditemui di pejabatnya.

Menjelaskan lanjut, Ezumi berkata, ada beberapa kriteria utama dalam memastikan sebuah bangunan hospital selamat antaranya struktur, reka bentuk dan sistem keselamatan kebakaran.

“Kita ambil contoh bangunan lama hospital yang diubah suai bagi menampung keperluan semasa. Pemeriksaan penting dalam menentukan adakah struktur itu mampu menampung binaan baru apatah lagi jika bangunan rumah kedai yang ditukar (diubah suai) menjadi hospital.

“Kedua, reka bentuk juga penting dalam memastikan bangunan hospital itu selamat atau tidak. Reka bentuk seperti keperluan koridor yang luas, keluasan bilik dan jarak katil pesakit, dinding, pintu rintangan api, zon selamat (bencana) dan keperluan sistem keselamatan kebakaran antara kriteria penting diperlukan di sebuah hospital,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, adakah saranan pasukan khas ditubuhkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) supaya RM60 juta diperuntukkan bagi meningkatkan sistem keselamatan hospital kerajaan di seluruh negara selepas kes kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru yang meragut enam nyawa, Ezumi berkata, jumlah itu tidak mencukupi.


LAPORAN Harian Metro, Jumaat lalu dan semalam.

“Keperluan sistem keselamatan di sebuah hospital memakan belanja 30 hingga 40 peratus keseluruhan peruntukan.

“Jika hospital bernilai RM100 juta, RM30 juta hingga RM40 juta diperlukan bagi memenuhi keperluan keselamatan di hospital berkenaan,” katanya.

Mengimbau kes kebakaran HSA, Ezumi berkata, pada 2007 hingga 2008, proses ubah suai dilakukan di hospital berkenaan atas saranan JBPM bagi meningkatkan sistem keselamatan di premis itu.

“Banyak ciri keselamatan ditambah (bangunan asal HSA). Antaranya, wujudkan pintu keluar kedua, tambah tangga, tetapi malangnya apabila kebakaran berlaku, pintu keluar kedua berkunci. Malah, ketiadaan sistem pengesan asap juga menyebabkan pihak hospital gagal mengesan api yang mula berlaku.

“Kebakaran hanya disedari petugas hospital selepas terbau benda terbakar. Tetapi, gagal mencarinya....bila dah jumpa, api sudah marak dan tiada apa boleh dilakukan,” katanya menambah, alat pemadam api yang disediakan juga kosong selepas digunakan memadam kebakaran kecil yang berlaku dua minggu sebelum tragedi itu.

Menjawab soalan wartawan, ketiadaan FC di Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan kegagalan menyediakan pelan seperti diminta pihak berkuasa kerana dakwaan arkitek enggan menandatanganinya, Ezumi berkata, ia satu tindakan betul dilakukan individu terbabit.

“Arkitek bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tandatangan berkenaan. Jika dia melakukan pengesahan salah kononnya bangunan itu selamat digunakan, dia boleh dikenakan hukuman denda RM250,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya. Besar tanggungjawabnya, bagi saya tindakannya adalah betul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 6:26 AM