KETUA UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. FOTO Mohd Yusni Ariffin
KETUA UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Ramli Ibrahim


KETUA UMNO bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah belum membuat sebarang keputusan sama ada mahu bertanding jawatan Presiden UMNO atau sebaliknya pada pemilihan tertinggi parti nanti.

Beliau berkata, perkara itu dalam pertimbangannya biarpun menerima banyak sokongan ahli akar umbi untuk menerajui UMNO peringkat pusat selepas parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.

"Saya hargai sokongan ahli akar umbi itu dan tunggulah keputusan yang bakal dibuat nanti kerana memegang jawatan itu tanggungjawab besar.

"Saya memerlukan sedikit masa sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu," katanya selepas majlis mesyuarat bulanan UMNO bahagian dan berbuka puasa di Bukit Chekati, Gua Musang, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan ahli akar umbi supaya bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan tertinggi parti nanti.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang mengakui walaupun Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada PRU-14 lalu, parti itu masih kuat dan boleh bangkit semula.

"Kita masih berbisa dalam erti kata memperjuangkan nasib tak kira bangsa dan kita tetap mempertahankan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia bahawa segala keistimewaan yang dirundingkan semasa negara kita merdeka dahulu.

"UMNO akan dipimpin dengan cara yang bijaksana supaya orang Melayu tetap mempunyai suara yang besar dan didengari oleh rakyat negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 10:31 AM