Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LAPAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, hari ini.

Mereka ialah ADUN Beseri, Rozaini Rais; Tee Chai Aan (Titi Tinggi), Siti Berenee Yahya (Mata Ayer); Azizan Sulaiman (Santan); Asmaiza Ahmad (Chuping); Roziena Ahmad (Pauh); Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat) dan Hamizan Hassan (Kayang).

Bagaimanapun, ADUN Bintong yang juga Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan ADUN Tambun Tulang, Ismail Kassim, yang dinamakan sebagai calon Menteri Besar yang baharu oleh BN, tidak kelihatan ketika lapan ADUN berkenaan memasuki pekarangan Istana Arau.

Lapan ADUN berkenaan tiba 11 pagi dan dilihat berada di Galeri Diraja Arau sebelum bergerak ke Bilik Kuning Istana Arau, kira-kira 30 minit kemudian.

Bagaimanapun, mereka enggan ditemubual selepas meninggalkan pekarangan Istana Arau tidak lama kemudian.

Difahamkan, kelapan-lapan ADUN berkenaan dipanggil bagi membincangkan jalan penyelesaian berhubung kemelut perlantikan Menteri Besar.

Sementara itu, sumber memberitahu, Azlan sudah menghadap Tuanku Syed Sirajuddin terlebih dahulu di Istana Kenangan, Repoh sebelum bergerak ke tugasan rasmi pagi tadi.

Menurut sumber itu lagi, pada pertemuan kali ini kelapan-lapan ADUN berkenaan turut mempersembahkan permohonan maaf kepada Raja Perlis berhubung tindakan mereka memboikot majlis istiadat perlantikan Azlan pada 24 Mei lalu.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar yang baharu.

Bagaimanapun Raja Perlis terdahulu berkenan melantik Azlan sebagai Menteri Besar dan pada majlis istiadat perlantikannya, semua sembilan ADUN BN negeri memboikot majlis itu.

Susulan itu, Pengerusi BN Perlis, Shahidan dalam sidang satu sidang media di ibu negara, ‘memecat’ Azlan daripada BN negeri kerana dilihat membelakangkan keputusan BN negeri dengan menerima perlantikan itu.

Sebahagian 10 ADUN Barisan Nasional Negeri Perlis memasuki perkarangan Istana Arau untuk menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi pemohonan maaf. NSTP/AZHAR RAMLI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 2:45 PM
Sebahagian ADUN Barisan Nasional Negeri Perlis memasuki perkarangan Istana Arau untuk menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi permohonan maaf. FOTO Azhar Ramli