PETIKAN rakaman video tular menunjukkan lelaki membawa sebilah parang naik hantu terhadap sebuah keluarga.
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI ‘naik hantu’ apabila mengugut bunuh sebuah keluarga dengan parang selepas dikatakan tidak puas hati apabila dituduh menembak lembu milik mangsa dengan senapang angin.

Kejadian berlaku pada 3.30 petang semalam di Kampung Batangan, Marang dan rakaman video suspek, 38, menetak motosikal mangsa dengan parang panjang menjadi tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Rakaman video berdurasi satu minit 18 saat itu memaparkan suspek datang ke rumah mangsa dengan membawa sebilah parang sambil mengugut mahu membunuh mangsa.

Difahamkan, suspek marah berikutan mangsa membuat laporan kononnya dia membunuh lembu milik lelaki itu.

Selain mengugut bunuh terhadap mangsa dan keluarganya, suspek juga menetak belakang motosikal menyebabkan bahagian belakang kenderaan itu, rosak.

Sumber berkata, mangsa, 64, bersama keluarganya yang berada di rumah didatangi suspek bersenjatakan sebilah parang dalam keadaan marah.

Katanya, suspek kemudian mengugut mahu membunuh mangsa kerana ‘bengang’ dituduh menembak lembu mangsa.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut merosakkan motosikal milik anak mangsa sebelum pergaduhan itu dileraikan ahli keluarga suspek.

“Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan keluarga membuat laporan di Balai Polis Marang pada hari sama untuk tindakan lanjut,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, identiti suspek sudah dikenal pasti dan gerakan mengesannya giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 5:53 PM