KEADAAN motosikal dan kereta yang terbabit dalam kebakaran di Blok 51 Pangsapuri Pantai Indah Fasa 2, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“SAYA sempat mendengar bunyi letupan mercun sebelum menyedari deretan motosikal dan kereta di kawasan parkir sedang marak terbakar,” kata saksi kejadian, Azali Mohamed, 59.

Dalam kejadian di Blok 51 Pangsapuri Pantai Indah Fasa 2, Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 4 petang hari ini, sebanyak lapan motosikal rentung, manakala empat kereta pula rosak.

Azali berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang bersiap untuk keluar bekerja sebagai pemandu teksi.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapati deretan motosikal milik penduduk pangsapuri ini sedang terbakar.

“Beberapa penghuni dilihat dalam keadaan panik dan cuba memadamkan kebakaran. Namun, api menjulang tinggi serta pantas merebak ke motosikal bersebelahan,” katanya,

Katanya, kebakaran turut merosakkan bahagian belakang empat kereta yang diletakkan di kawasan berhampiran.

“Sepasukan anggota bomba tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk memadam kebakaran.

“Kebakaran merosakkan empat kenderaan model Proton Saga, Proton Persona, Nissan Xtrail dan Perodua Myvi.

“Saya tidak pasti sama ada kebakaran ini berpunca akibat mercun atau perbuatan khianat,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut melawat lokasi kejadian dan berjanji untuk membantu mangsa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.41 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi didapati lapan motosikal dan tiga kenderaan terbakar dan anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal api.

“Kebakaran juga menjejaskan sebuah bilik di pangsapuri berkenaan kerana api merebak dengan cepat,” katanya.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 9:12 PM