DUA bot tunda yang ditahan APMM bersama tekong dan awak-awak di perairan Kuala Kedah, semalam.
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan tempatan kelas B1 (Bot Tunda) kerana melanggar syarat lesen ketika menangkap ikan awal pagi semalam.

Ketua Zon Maritim Kuala Kedah Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, dua tekong bersama tujuh awak-awak warga tempatan ditahan dalam kedua-dua bot terbabit oleh kapal peronda APMM kira-kira 3.5 batu nautika barat daya Kuala Sala.

Beliau berkata, ketika ditahan mereka leka menunda malah tidak menyedari tindakan mereka diperhatikan penguat kuasa.

Katanya, kedua-dua bot itu ditahan di lokasi berhampiran antara satu sama lain.

“Kita turut mengambil keterangan tekong dan awak-awak berusia 26 hingga 61 tahun itu untuk membantu siasatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot nelayan itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) atas kesalahan melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan kurang lapan batu nautika dari pantai,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ahmad Kamal berkata, kedua-dua bot itu dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:19 AM