KEADAAN mangsa yang maut di tempat kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan Lampu Isyarat Hospital Pantai / Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin


“SEMALAM hari pertama dia bekerja di pusat beli-belah itu dan dia ke sana bersama ibu saudaranya.

“Malangnya, itu jugalah hari terakhir dia bekerja,” kata Rofizi Mohd Yusof, 44, bapa kepada Zhariq Fizry, 20, yang maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Hospital Pantai Ayer Keroh-Jalan Tun Abdul Razak, Melaka.

Dalam kejadian 10.50 malam tadi, Zhariq Fizry dan ibu saudaranya, Sabariah Amin, 46, meninggal dunia selepas motosikal Yamaha Ego ditunggang mereka dirempuh bas persiaran membawa 30 pelancong.

Ketika itu, kedua-duanya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin, di sini.

Menurut Rofizi, anaknya tinggal dengan Sabariah sejak dua bulan lalu dan dia hanya mengetahui anaknya bekerja di pasar raya berkenaan selepas kemalangan terbabit.

“Arwah Sabariah bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat beli-belah sama, sebab itulah Zhariq Fizry membonceng motosikal berkenaan.

“Sebelum itu, saya tidak tahu dia sudah bekerja. Ketika saya menelefonnya pagi semalam pun, dia tidak beritahu mengenai kerja baru itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.


KEADAAN mangsa yang maut di tempat kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan Lampu Isyarat Hospital Pantai / Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

Rofizi berkata, panggilan telefon itu adalah perbualan terakhirnya bersama arwah dan dia sempat mengajak anak lelakinya pulang ke Kuala Lumpur untuk membuat persiapan Aidilfitri.

Sementara itu, abang ipar Sabariah, Abdullah Ibrahim, 51, berkata, arwah adalah ibu tunggal yang mempunyai tiga anak lelaki menyebabkan Zhariq Fizry selesa tinggal bersama ibu saudaranya itu.

“Dia (Zhariq) membonceng bersama ibu saudaranya kerana tidak mempunyai lesen memandu dan sepatutnya mengambil ujian memandu hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas persiaran dipandu lelaki berusia 52 tahun gagal mengelak motosikal mangsa ketika persimpangan lampu isyarat itu.

Katanya, mangsa dari arah Hospital Pantai dan mahu membelok ke arah kanan menghala ke Taman Merak, manakala bas berkenaan dari arah Ayer Keroh menghala ke arah Hospital Pantai.

“Rempuhan menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu bas dan 30 penumpang tidak cedera.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 2:59 PM