ZAKIR Naik. FOTO Arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid dan Fazrik Kamarudin


PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik tertakluk dengan undang-undang di negara ini dan jika didapati melakukan kesalahan, tindakan akan diambil terhadapnya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada individu yang dikecualikan daripada sebarang tindakan undang-undang jika terbukti melakukan kesalahan, termasuk Zakir.

"Tanpa mengira status dan taraf individu sama ada rakyat atau tidak, individu itu tetap tertakluk dengan undang-undang yang digunakan di negara ini.

"Jika ada sebarang perbuatan yang didapati melanggar undang-undang, tidak kira siapa, tindakan akan diambil berlandaskan undang-undang.

"Saya sudah dimaklumkan bahawa beliau (Zakir) diberikan status penduduk tetap (PR) oleh pentadbiran sebelum ini.

"Oleh itu, dia harus mematuhi undang-undang yang sedia ada di negara ini, tidak kira jika ia membabitkan agama atau pun jenayah atau apa sahaja, dia tidak terkecuali daripada tindakan, inilah yang dimaksudkan sebagai kedaulatan undang-undang," katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja beliau di Bukit Aman, hari ini.

Zakir meninggalkan India pada 2016 selepas didakwa terbabit dengan kegiatan serangan pengganas di Dhaka selain pengubahan wang haram.

Kerajaan India membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan untuk hadir ke Badan Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 3:02 PM