GAMBAR HIASAN
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KERAJAAN Persekutuan diminta menghapuskan bayaran lesen import (AP) terbuka sebanyak RM10,000 yang dikenakan bagi setiap kenderaan import kerana ia membebankan pembeli dan peniaga.

Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors Sdn Bhd (Mutiara Motor), Datuk Ahmad Kemin berkata, penghapusan AP perlu mengambil kira jumlah yang dikenakan ketika ini terlalu membebankan, selain bertujuan membantu industri automotif tempatan.

“Saya berharap kerajaan baharu dapat menghapuskan AP terbuka sebanyak RM10,000 bagi setiap lesen mengimport kenderaan seperti mana dikenakan kerajaan sebelum ini.

“Jumlah berkenaan sangat membebankan peniaga yang sebelum ini turut dibebani Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus,” katanya pada sidang media selepas menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Kumpulan Mutiara Motors Bersama Yayasan Sayang Mutiara di Hotel Amari, di Johor Bahru, petang semalam.

Program tahunan sempena Ramadan itu meraikan 40 individu kurang bernasib baik dari Taman Sinaran Harapan Jubli dan Taman Sinaran Harapan Tampoi.

Selain disajikan juadah berbuka puasa, penghuni rumah kebajikan berkenaan turut menerima sumbangan duit raya dan hamper.

Mengulas mengenai AP Terbuka, Ahmad berkata, penghapusannya perlu bagi memberi keadilan kepada semua pihak terutama syarikat tempatan yang mengimport kereta.

“Ia berbeza dengan beberapa syarikat luar terutama pemegang AP francais, tiada sebarang bayaran dikenakan kepada mereka walaupun membawa masuk kereta dalam jumlah besar.

“Justeru, wajar ia dihapuskan apatah lagi kami syarikat tempatan hanya membawa masuk kereta dalam jumlah yang sedikit, malangnya dikenakan RM10,000 bagi setiap AP Terbuka sedangkan ia membebankan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan bayaran lesen itu terlalu tinggi pengusaha kini berdepan margin keuntungan sedikit, menyebabkan mereka terpaksa mengurangkan jumlah pekerja dari 250 orang kepada 150 selepas mengambil kira kos gaji, bil utiliti dan lain-lain.

Mengulas langkah kerajaan menetapkan kadar GST kepada sifar, Ahmad berkata, ia disambut baik malah terdapat peningkatan jualan antara 30 hingga 40 peratus.

“Purata sehari kami mampu menjual antara 15 hingga 20 unit kenderaan terutama jenama Toyota dan ia amat memberangsangkan.

“Kebanyakan pengguna menunggu saat sifar GST diumumkan dan mengambil peluang untuk membeli kerana menganggap sebagai promosi, selain memperoleh rebat,” katanya.

Katanya, pihaknya yakin industri jualan kereta akan kembali melonjak dengan jumlah jualan sehingga 120 unit sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 4:38 PM