Ahmad Zaini Kamaruzzaman


PAKAR perundangan berharap polemik cadangan pelantikan Peguam Negara baharu, Tommy Thomas tidak mencetuskan krisis yang lebih besar.

Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, lebih membimbangkan, pertembungan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Yang di-Pertuan Agong dalam isu pelantikan Tommy ialah kemungkinan tercetusnya krisis Perlembagaan

Semalam, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan media bahawa Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan persilaan untuk semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja berbincang hal berkaitan pemecatan dan pelantikan Peguam Negara.

Sebelum ini, Dr Mahathir telah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, berhubung penamatan khidmat Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan menamakan Tommy sebagai pengganti.

Bagaimanapun, tiada maklum balas diterima, manakala media melaporkan bahawa pihak istana tidak memperkenankan pemilihan Tommy sebagai Peguam Negara baharu.

Menurut Pensyarah Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) itu, perbincangan Raja-Raja Melayu esok pasti dengan hasrat untuk mencari persetujuan dan resolusi terbaik berhubung keputusan Putrajaya mahu melantik Tommy.

Katanya, walaupun Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan hanya menyatakan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang yang layak sebagai Peguam Negara dan tidak menyebut peranan Majlis Raja-Raja, baginda mempunyai peranan dalam menghadapi kemelut terbaharu ini.

Beliau berkata, dalam pelantikan Peguam Negara, Perkara 145 tidak menyebut mengenai rundingan bersama Majlis Raja-Raja.

“Namun, ini tidak bermakna Majlis Raja-Raja tidak perlu mengambil peduli langsung. Ini kerana suatu tindakan yang diambil oleh Yang di-Pertuan Agong akan sekali gus mendatangkan kesan terhadap keseluruhan dan masa depan institusi beraja di negara kita.

“Justeru, atas dasar tersebut, Majlis Raja-Raja perlu bersidang dan berbincang. Yang di-Pertuan Agong juga perlu secara bijaksana mengambil pandangan ahli Majlis Raja-Raja dan menerima apa sahaja pemuafakatan yang dicapai esok,” katanya.

Syamrahayu berkata, kenyataan Dr Mahathir berhubung pemilihan Tommy tegas dengan menyatakan bahawa penyelesaian akan berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, yakni Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat.

“Saya melihat bahawa kontroversi ini bukan sekadar membabitkan tafsiran Perlembagaan berhubung maksud perkataan nasihat dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Kepada Perdana Menteri, persoalan siapa yang layak dan siapa yang patut dilantik sebagai Peguam Negara bukan isu kepada beliau. Beliau sangat yakin dengan calon yang telah dinamakan.

“Justeru, dalam bingkai yang lebih luas, saya dapati kontroversi ini adalah pertembungan antara sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara kita. Ia mungkin boleh diistilahkan sebagai ‘krisis’.

“Ini adalah perkara teras yang perlu dibincangkan secara teliti dengan sewajarnya oleh Majlis Raja-Raja. Walaupun mungkin dalam keadaan semasa keadaan ini belum boleh dipanggil sebagai krisis Perlembagaan, tetapi krisis sudah mula berputik.

“Justeru, tanpa tindakan sewajarnya oleh semua pihak, termasuk Majlis Raja-Raja atau pihak berkaitan, ia akan mencetuskan krisis Perlembagaan yang lebih serius,” katanya.

Ikuti tulisan penuh Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz dalam akhbar BH esok

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 6:12 PM