Suhaila Shahrul Annuar


DATIN Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi jaminan Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah akan tetap dilaksanakan walaupun kerajaan berdepan cabaran untuk menyediakan dana.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan perkara itu walaupun berdepan kekangan dana kerana pentadbiran kini terpaksa menanggung beban hutang yang besar.

“Tadi saya ada berbincang dengan Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) dan kita terpaksa memikirkan mengenai dana.

“Tapi saya dapat jaminan daripada Menteri Kewangan dan Insha-Allah kita akan sedaya upaya berusaha untuk selesaikan masalah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai Murni anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya, semalam.

Lim dalam satu kenyataan semalam menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif memperkenalkan skim KWSP untuk suri rumah yang dicetuskan oleh KPWKM.

Katanya, inisiatif yang selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk meningkatkan tahap keselamatan sosial dalam kalangan suri rumah yang bergantung kepada suami untuk menyara hidup.

Ia dijangka bermula tahun ini dan dilaksanakan secara sukarela membabitkan pemindahan dua peratus daripada caruman KWSP suami sedia ada kepada akaun KWSP suri rumah.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan komited dalam meringankan beban hidup rakyat terutama kepada kumpulan sasar seperti termasuk golongan wanita, ibu tunggal, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, keluarga, orang miskin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mangsa bencana.

“Kerajaan prihatin dengan keluhan dan kesulitan masyarakat dalam mendepani cabaran hidup pada masa kini.

“Antara janji kerajaan yang berkait rapat dengan KPWKM termasuk usaha untuk mempertingkat akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan.

“Selain itu, meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak; melaksanakan KWSP untuk suri rumah; membela nasib golongan OKU; memerangi jenayah dan gejala sosial; mendukung keutuhan institusi keluarga dan kejiranan serta memperkasa institusi kemasyarakatan, masyarakat sivil dan keusahawanan sosial,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 500 individu terdiri daripada lapan kumpulan sasar kementeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 9:07 PM
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa hadir pada majlis program penerapan Nilai Nilai Murni dan turut bersama Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Suriani Ahma di Dewan Puspanitapuri. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor