Luqman Arif Abdul Karim

KETUA Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, malam ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, ketika mengesahkan perkara itu berkata antara intipati pertemuan berkenaan terarah kepada usaha merungkai kemelut pelantikan Peguam Negara baharu.

“Betul, Datuk Seri Anwar akan masuk menghadap baginda malam ini dan difahamkan ia berkisar mengenai polemik pelantikan Peguam Negara,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Isu pelantikan Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang ketika ini cuti tanpa rekod selama 30 hari, mulai 15 Mei lalu tercetus apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengusulkan nama peguam veteran, Tommy Thomas untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Berdasarkan laporan portal The Malaysian Insight, Anwar berkata, cadangan Dr Mahathir untuk melantik Thomas sebagai Peguam Negara perlu dihormati kerana ia prerogatif atau hak eksklusif Perdana Menteri.

“Kita semua tahu hak untuk memilih Peguam Negara tertakluk kepada bidang kuasa Perdana Menteri berlandaskan demokrasi berparlimen.

“Raja boleh mengutarakan pendapat dan nasihat untuk menangguhkan pelantikan ini untuk sementara waktu bagi menjaga sentimen serta perasaan segelintir pihak yang ingin mempertahankan tanggungjawab kerajaan dalam memelihara adat Melayu.

“Kini kebijaksanaan dan pengalaman dalam merungkai kemelut ini diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu. Kita harap ia berupaya diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Anwar mengakui wujud kegusaran bahawa Peguam Negara yang dilantik dalam kalangan bukan Muslim tidak boleh menasihati Raja Melayu mengenai hal ehwal syariah.

Katanya, keprihatinan itu turut disuarakan ketika diperkenan menghadap tujuh sultan yang masing-masing inginkan jaminan bahawa perihal syariah dan kepentingan Melayu tiada kompromi, sebaliknya dipertimbangkan.

“Saya tidak menjangkakan isu ini akan berlanjutan, apatah lagi bertukar menjadi krisis.

“Pandangan masyarakat di bandar yang lebih liberal mungkin berbeza. Tetapi penduduk di pedalaman dan Melayu mungkin mempunyai tanggapan berbeza.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempertimbangkan semua pandangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 10:45 PM