MUHYIDDIN (tengah) ketika lawatan kerja ke Jabatan Imigresen di Putrajaya, hari ini.FOTO Mohd Fadhli Hamzah
Azura Abas dan Irwan Shafrizan Ismail
cnews@nstp.com.my


SEBANYAK 265,149 nama daripada 433,708 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen sehingga 4 Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, baki daripada jumlah peminjam berkenaan iaitu sebanyak 168,289 nama dijangka dapat dikeluarkan daripada sistem senarai hitam pada 15 Jun ini.

“Kemudahan pelepasan sekatan keluar negara bagi peminjam ini terpakai kepada peminjam yang nama mereka masih di dalam sistem, di mana semua pintu masuk negara seluruh negara sudah dimaklumkan.

“Bagi individu yang disenaraihitam oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pula, mereka dibenarkan ke luar negara tanpa sekatan bermula 1 Jun lalu selaras dengan surat arahan agensi yang diterima Jabatan Imigresen pada tarikh sama," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Jabatan Imigresen di Putrajaya, hari ini.

Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kira-kira 433,000 peminjam PTPTN sedang dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen melalui proses pemutihan secara berperingkat bermula 24 Mei lalu hingga 15 Jun ini.

Katanya, PTPTN menyenarai hitam sejuta peminjam dan kira-kira 655,000 daripadanya sudah membuat pembayaran membabitkan kutipan berjumlah kira-kira RM1.9 bilion dan keluar daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, ia adalah salah satu keputusan yang diputuskan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee selaras manifesto Pakatan Harapan.

“Ini bermakna mereka boleh ke luar negara dan tidak ada sekatan seperti masa sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, rekod dalam sistem senarai hitam Jabatan Imigresen mencatatkan sebanyak 636,202 orang masih disenaraihitam oleh agensi-agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 12:51 PM