Yusmizal Dolah Aling


WAKIL Malaysia dalam misi ‘Wake-Up 4 Gaza : Freedom Humanitarian Mission,’ Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery, berlepas ke Gaza, hari ini.

Dia yang dinamakan sebagai duta Malaysia ke misi itu akan berada di Gaza selama 10 hari bersama 18 lagi delegasi mewakili Eropah dan Timur Tengah.

Katanya, ia adalah satu amanah besar yang dipikul bukan saja kerana mewakili negara, malah imej Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia sebagai antara NGO yang diberi kepercayaan membantu umat Islam di Gaza.

"Saya mohon rakyat Malaysia doakan misi ini berjaya kerana ada saudara kita yang perlu dibantu sedaya mungkin. Saya mungkin terperangkap di dalam kancah perang, mudah-mudahan misi ini selesai dan bantuan yang akan diusahakan ini sampai kepada mereka," katanya sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol, kumpulan nasyid Hijjaz, pelajar Gaza dan Syria di Malaysia dan wakil NGO antarabangsa turut hadir memberikan sokongan.

Ahmad Sani berkata, elegasi akan

memasuki sempadan Rafah Rabu ini dan dijangka keluar pada

Hari Raya pertama dengan antara lokasi yang akan diberikan tumpuan seperti Gaza City, Jabalia, Beit Lahia dan Beit Hanoun.

Katanya, antara objektif utama misi ini adalah memberi sokongan mewakili badan kemanusiaan antarabangsa yang aktif dalam hal pendidikan, pembangunan semula Gaza dan hal berkaitan advokasi selain menyelia

projek kemanusiaan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang diuruskan oleh

MAPIM sepanjang tahun.

"MAPIM juga sudah melancarkan Tabung Dana Bantuan Kecemasan Gaza dan mensasarkan jumlah RM1.5 juta sepanjang misi dijalankan. Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Maybank 562834636620," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 10:07 PM
AHMAD Sani (duduk, tengah) bersama aktivis dan pimpinan NGO di KLIA. FOTO ihsan MAPIM