KEADAAN kemalangan jalan raya di Kilometer 11 Jalan Bandar Seri Jempol - Serting Tengah pada jam 2.30 petang tadi dan mangsa yang maut Noor Azmi Cheros,57 memandu kereta Proton Saga FL. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


ANGGOTA polis bantuan FELDA maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 11 Jalan Bandar Seri Jempol-Serting Tengah dekat Jempol, 2.30 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, Noor Azmi Cheros, 57 memandu Proton Saga dan ditemani anak lelaki berusia 24 tahun.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Serting Tengah menuju ke Bandar Seri Jempol.

“Apabila tiba di tempat kejadian kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler dipandu lelaki berusia 34 tahun.

“Akibat pertembungan itu, mangsa tersepit di tempat duduk dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, anak mangsa yang turut cedera dihantar ke Hospital Jempol dengan ambulans untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 10:13 PM