ANGGOTA APM menangkap buaya di hadapan sebuah rumah di Kampung Tajau, Tuaran.

Tuaran: Kebimbangan sebuah keluarga yang kerap melihat kelibat buaya sejak lebih seminggu lalu berakhir apabila reptilia itu dijerat sebelum ditangkap di Kampung Tajau di sini, kelmarin.

Difahamkan, reptilia itu memakan umpan daging ayam yang dipasang Junqadre Saidin, 36, jam 12.30 tengah malam itu.

Junqadre berkata, dia menggunakan umpan daging ayam yang disangkut pada mata kail sebesar genggaman tangan dan mengikatnya di bawah titi laluan ke rumahnya.

“Buaya ini kerap kelihatan di kawasan bakau terutama berhampiran rumah dan ini menyebabkan kami sekeluarga risau untuk keluar rumah atau menangkap ikan,” katanya.

Menurutnya, buaya itu sebenarnya memakan umpan pada Ahad lalu namun terlepas kerana terlalu agresif hingga laluan titi bergegar kerana reptilia itu berhempas pulas melepaskan diri.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, sebaik menerima panggilan jam 12.35 tengah malam, sepasukan anggota dihantar ke kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 7:12 AM