Penguat Kuasa KPDNKK Negeri Sembilan memeriksa butik tudung yang sebelum ini menjual tudung pada harga yang sama selepas GST pada kadar sifar.
Khairul Najib Asarulah Khan
cnews@nstp.com.my


Seremban: Sebuah butik tudung jenama terkemuka diberi amaran, kelmarin berikutan menawarkan harga sama sebelum dan selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Zubir Hamsa berkata, pihaknya menerima aduan selepas resit pembelian tudung itu tular di media sosial.

Beliau berkata, pihaknya mendapati tudung dibeli pelanggan dengan harga RM50 pada 31 Mei lalu sama dengan pembelian pada Sabtu lalu sedangkan harga sepatutnya RM47.

“Dengan itu, kami menghantar pegawai penguat kuasa untuk pemeriksaan, namun mendapati semua harga jenis tudung itu sudah diperbetulkan.

“Mereka mendakwa masalah itu timbul berpunca daripada sistem pembayaran premis itu yang menghadapi gangguan sebelum pulih semalam (kelmarin).

“Peniaga itu juga akan mengembalikan semula wang lebihan bayaran pelanggan berkenaan menerusi rekod transaksi jualan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memberi amaran kepada pemilik premis dan pemeriksaan berkala akan dijalankan.

“Jika terdapat kes berulang notis akan dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ada maklumat mengenai peniaga tidak mematuhi undang-undang dengan pengurangan kadar GST boleh menyalurkannya menerusi talian 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) 03-8000 8000.

Maklumat turut boleh disalurkan melalui talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800 atau menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip “KPDNKK ADUAN

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 7:39 AM