AZMAN (dua dari kanan) dan Azhar (kanan) mengagihkan pek nasi beriani dan bubur lambuk kepada pengguna Jambatan Pulau Pinang, hari ini. FOTO Mikail Ong.
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah pengguna jalan raya di seluruh negara bagi dua hari sebelum menjelang Aidilfitri meningkat kepada 2.2 juta berbanding 1.5 juta pada hari biasa.

Ia berikutan kadar diskaun bayaran tol sebanyak 50 peratus diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan antara 40 ke 50 peratus akan berlaku pada dua hari berkenaan.

Berikutan itu, beliau menasihatkan kepada pengguna jalan raya supaya mengatur jadual bersesuaian dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

“Bagi mengatasi kesesakan, kita meminta pengguna merancang jadual perjalanan dan keluar awal ke destinasi masing-masing untuk kelancaran aliran trafik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyerahan Nasi Beriani dan Bubur Lambuk kepada kakitangan dan pengguna Jambatan Pulau Pinang di Seberang Perai, hari ini.

Dalam program dianjurkan Hotel The Light Seberang Jaya itu, sebanyak 2,000 pek nasi beriani dan bubur lambuk diagihkan kepada kakitangan PLUS yang bekerja serta pengguna untuk juadah berbuka puasa.

Hadir sama, Pengerusi Hotel The Light Azhar Mohammad.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan kios layan diri di sepanjang jajaran Lebuhraya PLUS untuk membolehkan pengguna membuat tambah nilai tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.

“Kami menyediakan 70 kiosk layan diri untuk pengguna bagi mengelak berlaku kesesakan di plaza tol.

“Dalam pada itu, kami turut bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membantu pengguna sekiranya berdepan masalah ketika menggunakan lebuh raya kendalian kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 6:32 PM