KERETA mangsa remuk teruk selepas merempuh lori tangki di Kilometer (KM) 45, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang berhampiran Panchang Bedena, Sungai Besar, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Amirul Aiman Hamsuddin


LELAKI maut selepas kereta dinaikinya merempuh lori tangki di Kilometer (KM) 45, Jalan Persekutuan Teluk Intan-Klang berhampiran Panchang Bedena, Sungai Besar, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa, Mohammad Nazrun Djaafar, 20, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman.

Manakala, pasangan kembarnya, Mohammad Nazrin, 20, yang juga pemandu kereta Proton Waja itu patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dari arah Klang menuju ke Teluk Intan manakala lori dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Teluk Intan menuju ke Klang.

“Setibanya di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai membuat pusingan 'U' secara mengejut.

“Pemandu Proton Waja itu menekan brek, namun tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian kiri lori itu,” katanya.

Nor Azmi berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 10:28 PM