ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam lori dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh dekat susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Amrullah Abdul Karim


PEMANDU lori maut akibat tersepit di tempat duduknya setelah terbabit dalam kemalangan dengan lori tangki dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 403.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah Ipoh dekat susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu, 4.45 petang hari ini.

Kejadian di laluan Lembah Beringin-Tanjung Malim itu berlaku apabila mangsa, Mohamad Haikal Baharom, 28, melanggar belakang lori tangki yang bergerak di lorong kiri.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bhak Pai berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan yang menghala dari Kuala Lumpur ke Utara.

“Kemalangan berlaku apabila lori Hino dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari Selayang ke Manjung melanggar belakang lori tangki dipandu lelaki berusia 33 tahun yang bergerak di lorong kiri.

“Pada masa sama, lori tangki terbabit pula melanggar MPV Naza Citra dipandu lelaki berusia 47 tahun di hadapannya,” katanya.

Beliau berkata, pelanggaran itu mengakibatkan pemandu lori Hino tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kamil Hamadan berkata, anggota bomba mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan pemandu lori yang tersepit sebelum menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 11:08 PM