HM Digital

Kuala Terengganu: “Hari ‘Namat’ adalah tradisi turun temurun yang diadakan pada 17 Ramadan iaitu sempena hari Nuzul al-Quran,” kata Mohammad Che Embong, 59.

Mohamad yang juga Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Pulau Manis, Serada berkata, namat yang bermaksud tamat diadakan mengikut tarikh Nuzul al-Quran.

“Apabila masuk Ramadan, penduduk dan jemaah masjid akan membaca al-Quran 30 Juzuk dan Hari Namat adalah singkatan daripada perkataan penamat iaitu hari terakhir mengaji al-Quran.

“Ia diadakan sempena sambutan hari Nuzul al-Quran pada setiap tahun di masjid ini, ” katanya ketika ditemui pada Hari Namat di Masjid Kampung Pulau Manis.

Mohamad berkata, istimewanya hari namat turut membabitkan juadah berbuka puasa yang mana penduduk beberapa kampung berhampiran akan membawa lauk dan kuih muih yang dimasak sendiri ke masjid.

Menurutnya, tradisi itu secara tidak langsung dapat mengekalkan keharmonian kampung selain menjalin silaturahim dalam kalangan penduduk.

“Enam kampung terbabit dengan program ini setiap tahun iaitu Kampung Pulau Manis, Kampung Kemang Tiruk, Kampung Tanjung Ketom, Kampung Banggol Mempelam selain tetamu dari Kampung Batu Hampar dan Kampung Pasir Tinggi,” katanya.

Mohammad berkata, acara yang menggamit nostalgia itu diadakan sejak 1960-an dan berterusan sehingga kini dan tidak pernah dilupakan walaupun sambutannya agak berkurangan berbanding sebelum ini.

Katanya, pada majlis itu, pihaknya berjaya mengumpul 38 bekas pelbagai jenis lauk dan kuih-muih untuk dihidangkan kepada 150 tetamu.

Menurutnya, sambutan sama juga diadakan ketika sambutan Hari Maulidur Rasul yang mana penduduk akan memasak dan membawa makanan ke masjid untuk dinikmati bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 5:12 AM
PENDUDUK membawa juadah berbuka menuju ke masjid pada Hari ‘Namat’.
PENDUDUK membawa juadah berbuka menuju ke masjid pada Hari ‘Namat’.