BERNAMA

Kuala Lumpur: Alunan ayat suci al-Quran sekali lagi bergema di sekitar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam bersempena dengan penganjuran program World #QuranHour (WQH) 2018.

Kira-kira 7,000 peserta terdiri dari pelbagai negara dan latar belakang berhimpun di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM untuk bersama-sama membaca al-Quran yang berlangsung selama sejam bermula 11.30 pagi semalam.

Acara itu lebih bermakna dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang turut mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran pada majlis berkenaan.

Turut mengambil bahagian ialah Ketua Umum PKR yang juga bekas Presiden UIAM Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Rektor UIAM Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin dan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) Datuk Hussamuddin Yaacob.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Nordin Ibrahim memulakan acara dengan mengalunkan bacaan Surah al-Fatihah dan diikuti bacaan Surah Ali ‘Imran ayat 103 hingga 105 oleh Anwar.


SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah Shah beramah mesra bersama peserta di UIAM.

Program diteruskan dengan acara kemuncak iaitu Sesi Solidariti Ngaji yang memberi peluang setiap peserta membaca al-Quran, berinteraksi dan melakukan refleksi diri, sebanyak satu muka surat seorang dalam tempoh lima minit.

Selain itu, pada program tahun ini menyaksikan para peserta diberi keterangan mengenai Surah al-Hujurat ayat satu hingga 18 yang menceritakan pembentukan umat berakhlak mulia melalui penekanan nilai seperti memaafkan, mendamaikan orang yang berselisih sesama Islam serta saling mengenali sesama manusia, oleh Penasihat Modul Rumah Ngaji Fazrul Ismail.

Dalam pada itu Hussamuddin berkata program anjuran YWUI itu turut dihadiri duta dan wakil kedutaan dari 17 negara termasuk Pakistan, Turki, Syria dan Iraq.

Katanya program WQH yang memasuki tahun ketiga itu bertemakan Dunia Berbudi dan Penyayang bermatlamat untuk membentuk solidariti ummah seluruh dunia untuk berinteraksi dengan al-Quran, iaitu baca, faham dan amal, selama satu jam.

“Kami harap melalui program ini akan wujud gelombang tsunami yang mana seluruh umat Islam di dunia akan menjadikan budaya membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran dalam kehidupan mereka. Kami juga berharap program WQH akan dimasukkan dalam satu daripada agenda negara suatu hari nanti.

“Kami mahu ajaran yang terkandung dalam al-Quran akan menyerap masuk ke dalam jiwa setiap umat Islam. Justeru masalah sosial yang semakin berleluasa kini dapat diatasi,” katanya.


PESERTA khusyuk membaca al-Quran di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 10:00 AM