GAMBAR hiasan
Murni Wan Omar


PEKERJA pembantu rawatan kesihatan di rumah anak yatim di Cheras dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam, atas pertuduhan mendera kanak-kanak berusia dua tahun.

Mohamed Syafiq Mohamed, 26, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh didakwa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kesan lebam pada bahagian muka iaitu dahi dan bawah mata.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik bayi di rumah anak-anak yatim itu pada 8.30 malam, 11 Oktober tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothy membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh kerana ia membabitkan kesalahan yang serius.

Bagaimanapun, beliau memohon mahkamah mengenakan jaminan yang tinggi serta syarat tambahan jika jaminan diberikan.

Sementara itu, peguam Muhammad Amin Abdullah yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya memohon jaminan yang rendah kerana perlu menanggung keluarganya termasuk adiknya yang mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, Mohamed Syafiq masih bekerja di situ bersama isterinya dan hanya mempunyai pendapatan RM2,200 sebulan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Selain itu, mahkamah menetapkan 29 Jun ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 1:19 PM