GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


DUA lelaki sanggup menahan kepanasan selama 30 minit dengan menyorok di dalam bangsal bagi mengelak dari dicekup anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menyerbu sebuah rumah di Pasir Panjang di Manjung, semalam.

Bagaimanapun, taktik dua lelaki berusia 28 tahun itu berjaya dikesan penguat kuasa dan ditahan dalam operasi khas yang diketuai Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, Azman Hashim, bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

Turut ditahan, remaja lelaki berusia 14 tahun yang mendakwa sudah tidak bersekolah dan baru lima bulan terbabit dengan bahan terlarang itu.

Pegawai AADK Manjung, Sharudin Abdul Salam berkata, tiga lelaki berkenaan antara 11 individu dipercayai penagih dadah yang ditahan di dua lokasi berbeza.

Katanya, dua lokasi itu dipercayai dijadikan sarang penagihan dadah hasil maklumat awam dan risikan anggota penguat kuasa AADK selama sebulan.

“Semua yang ditahan berusia antara 14 hingga 36 tahun di dua sarang penagih dadah di Manjung dan Pasir Panjang.

“Ketika serbuan mereka sedang ‘lalok’ dan ada yang sedang tidur dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.

“Mereka mendakwa mengambil bekalan dadah di tempat lain dan ada yang memaklumkan rakan membawa mereka ke situ untuk menghisap dadah bersama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“AADK Manjung mengalu-alukan maklumat awam bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 3:31 PM