THAIVEEGAN pada sidang media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket Macau Scam di IPK Pulau Pinang di Georgetown, hari ini. FOTO Danial Saad.
Hadzlihady Hassan


BUKAN calang-calang penjenayah apabila sindiket ‘Macau Scam’ di negeri ini dikesan sudah mengaut keuntungan mencecah RM27 juta sejak 2016 hingga semalam.

Mereka dikesan hanya bermodalkan telefon serta beberapa peralatan komunikasi dan beroperasi di rumah sewa sebelum menghubungi mangsa yang turut terdiri daripada golongan profesional.

Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan berkata, sindiket didapati menggunakan modus operandi dengan menghubungi mangsa melalui telefon bimbit dan menyamar sebagai pegawai bank, polis, mahkamah dan syarikat pengutip hutang.

“Sindiket ini dikesan menggunakan kaedah Voice Over Internet Protocol (VOIP) yang akan memaparkan nombor telefon kepunyaan agensi atau jabatan berkaitan.

“€œNombor telefon ini akan tertera pada skrin telefon mangsa membuatkan mereka lebih yakin dan percaya tanpa menyedari sebenarnya ditipu,” katanya pada sidang media di pejabat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Thaiveegan berkata, mangsa selalunya akan dihubungi sindiket yang memberitahu mereka mempunyai hutang atau tunggakan bayaran dan diminta untuk menjelaskannya secepat mungkin jika tidak mahu dikenakan tindakan.

“Mangsa selalunya diugut sindiket yang mengatakan akaun bank mereka akan dibekukan sekiranya tidak mahu membuat bayaran.

“€œKebanyakan mangsa yang bimbang dengan ugutan itu akan membuat pembayaran kepada sindiket terbabit,” katanya.

Thaiveegan berkata, taktik penipuan itu terbongkar apabila pihaknya menahan sindiket Macau Scam didalangi rakyat Taiwan dalam serbuan di banglo di Bukit Jambul, Selasa lalu.

Beliau berkata, serbuan dilakukan bersama Polis Thailand itu berjaya menahan dua lelaki Taiwan serta lapan rakyat Thailand terdiri daripada tiga lelaki dan lima wanita berusia 30 hingga 50-an.

“€œSindiket terbabit dikesan menjadikan mangsa yang terdiri daripada rakyat Thailand dan mereka kerap berpindah ke beberapa negeri lain bagi mengelak di kesan polis.

“€œDalam serbuan itu, polis merampas peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit, komputer serta buku akaun bank dan semua mereka direman selama 14 hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 8:16 PM