MANGSA yang melecur pada tangan akibat dibakar dirawat di Wad Kebakaran Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. FOTO Ihsan Pembaca
MANGSA yang melecur pada tangan akibat dibakar dirawat di Wad Kebakaran Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang. FOTO Ihsan Pembaca
Faliq Lajim


IBU wanita yang dibakar hidup-hidup oleh teman lelaki, semalam akibat cemburu, kesal dengan kejadian itu sekali gus mahu hukuman setimpal diterima lelaki terbabit.

Wanita, 52, yang hanya mahu dikenali sebagai Joanne itu, berkata dia rasa sedih melihat derita ditanggung anak sulung terbabit yang melecur di kaki, tangan, beberapa bahagian badan dan juga rambut.

Katanya, dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya berusia 24 tahun itu selepas dihubungi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) ketika sedang bekerja di Taman Sentosa, Shah Alam.

“Apabila pihak hospital memaklumkan kejadian, pada mulanya saya tidak mengerti. Mereka hanya maklumkan yang anak saya 'burn' (terbakar).

“Selepas meminta penjelasan lanjut, baru saya faham yang anak saya berada di hospital berikutan melecur akibat dibakar seseorang.

“Saya sangat terkejut apabila menerima berita itu lalu bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anak,” katanya ketika ditemui sedang menunggu anaknya di hospital itu.

Menurutnya, dia amat terkejut melihat keadaan tangan dan kaki anaknya yang melecur akibat terbakar.

Katanya, dia hanya mampu memberi kata-kata semangat kepada anaknya sambil memujuk supaya berhenti menangis.

“Luluh hati saya melihatkan keadaan anak diperlakukan seperti itu,” katanya.

Menurutnya, anaknya memaklumkan kejadian bermula apabila mangsa berselisih faham dengan lelaki itu.

Katanya, anaknya kemudian masuk ke dalam bilik lalu tertidur sebelum mangsa terjaga selepas menyedari tubuhnya dibakar.

“Nasib baik ketika itu bapa kepada teman lelaki anak saya ada dalam rumah apabila dia mengambil tindakan segera memadam api pada badan anak sebaik terdengar kekecohan lalu terus menghantarnya ke hospital.

“Jika bapa lelaki itu tiada di rumah, berkemungkinan anak saya mati sebelum kejadian disedari,” katanya.

Katanya, berikutan itu dia menuntut agar keadilan yang setimpal terhadap perbuatan kejam teman lelaki anaknya.

“Anak saya berkemungkinan tidak hidup seperti orang normal lain walaupun sudah sembuh kelak kerana kakinya cedera akibat dibakar.

“Saya mahu keadilan yang setimpal terhadap kekejaman yang menimpa anak saya,” katanya.

Dalam kejadian 8 pagi semalam, wanita berkenaan dipercayai dibakar oleh teman lelakinya dipercayai akibat cemburu.

Berita berkaitan

Cemburu punya pasal...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 9:16 PM