LELAKI ditahan penguat kuasa AADK hasil aduan ibunya mendakwa dia memecahkan tabung duit dua anaknya untuk membeli dadah dalam operasi di Jalan Reko Sentral, Kajang, Rabu lalu. FOTO ihsan AADK.
Nurul Hidayah Bahaudin


KERANA ketagih dadah, lelaki sanggup memecahkan tabung duit anaknya untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan bahan terlarang itu.

Lelaki berusia 32 tahun itu yang tidak sampai 24 jam dibebaskan dengan jaminan polis atas kesalahan dadah, ditahan di rumahnya di Jalan Reko Sentral, Kajang, dalam Operasi Cegah (Op Cegah) yang dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat pada 10 malam, Rabu lalu.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, pihaknya menerima aduan daripada diterima ibu lelaki berkenaan yang berusia 50-an mengenai tindakannya memecahkan tabung milik dua anak lelakinya berusia 14 dan 15 tahun.

“Ibunya memberitahu lelaki itu pernah mengugut ahli keluarga menggunakan pisau untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah.

“Terbaru, lelaki itu memecahkan tabung anaknya yang sepatutnya digunakan untuk membeli kelengkapan hari raya bagi mendapatkan bekalan dadah,” katanya ketika ditemui di Kajang, hari ini.

Muhamad Ramlan berkata, hasil ujian awal saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis heroin.

Beliau berkata, dalam operasi sama, pihaknya menahan sembilan individu lain termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 56 tahun yang didapati positif pelbagai jenis dadah.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 😔1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 12:02 AM