ROSNAH dan anaknya, Zetty menunjukkan sumbangan raya yang diterima daripada LAKISTRI di Sarikei.
Khalid Latip


Sarikei: Sukar digambarkan kesulitan yang terpaksa dilalui oleh seorang ibu tunggal, Rosnah Mat, membesarkan sembilan anak berusia antara 26 hingga lapan tahun tanpa sumber pendapatan tetap.

Tanpa mengharapkan bantuan orang lain, Rosnah, 46, gigih mencari rezeki dengan berniaga makanan termasuk kuih-muih selepas kematian suaminya, Musa Pae, akibat penyakit barah paru-paru, ketika berusia 35 tahun.

Namun pendapatannya tidak menentu dan kadang kala hasil yang diperolehnya tidak mampu menampung perbelanjaan harian.

Berkat kesabarannya sepanjang 12 tahun bergelar ibu tunggal, Rosnah kini semakin lega apabila empat anaknya sudah bekerja, seorang sudah berkeluarga manakala tiga lagi masih bersekolah.

“Selepas kematian suami 12 tahun lalu, saya berniaga makanan selain menjual kuih-muih namun pendapatan yang pasang surut itu tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan bukan mudah menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal apatah lagi apabila semua anak-anak ketika itu masih bersekolah.

“Selain berniaga makanan, saya juga melakukan pelbagai pekerjaan lain demi memastikan keperluan anak-anak mencukupi. Malah saya rela berlapar, asalkan nasib anak-anak terbela kerana mereka adalah harta dunia dan akhirat,” katanya.

Rosnah adalah antara seorang daripada 594 penerima sumbangan Aidilfitri Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISTRI), di Masjid Al-Mutaqqin di sini, semalam.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh dan turut dihadiri Residen Bahagian Sarikei, Mohd Junaidi Mohidin.

Kini, Rosnah, yang bekerja sebagai sebagai pembantu rumah mengakui cabaran yang dihadapinya itu banyak mengajarnya erti kesabaran terutama dalam membesar dan mendidik anak-anak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 8:35 AM