RIZKY, 5, ditinggalkan seorang lelaki dipercayai bapa kandungnya ketika menerima rawatan di Hospital Serdang akibat kemalangan, Febuari lalu. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya menerima tiga panggilan telefon daripada waris kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Rizky, 5, yang ditinggalkan bapa kandungnya selepas terbabit dalam kemalangan di Hospital Serdang, 21 Febuari lalu.

Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya Mohd Hafifi Mohd Ariff berkata, beliau menerima tiga panggilan daripada dua bapa saudara kanak-kanak itu dan seorang kenalan bapanya, Khamis lalu kira-kira 8 pagi sebaik laporan mengenai Rizky dikeluarkan Harian Metro, Rabu lalu.

"Saya menerima panggilan daripada tiga individu yang memperkenalkan diri sebagai bapa saudara dan kenalan kepada bapa kandung Rizky.

"Seorang daripada bapa saudara kanak-kanak itu berusia 20-an yang juga adik lelaki bapa kandung Rizky ada berjumpa saya di pejabat untuk memberikan bukti dan dokumen berkaitan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hafifi berkata, berdasarkan keterangan lelaki itu, dia memaklumkan bapa kandung Rizky adalah seorang penagih dadah tegar dan sering membawa kanak-kanak itu di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur, sebelum ini.

"Dia juga memaklumkan ibu Rizky adalah wanita warga Indonesia. Difahamkan kanak-kanak itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah kerana kelahirannya tidak didaftarkan.

"Kali terakhir dia berjumpa Rizky dan abangnya adalah Jun tahun lalu memandangkan hubungan mereka renggang kerana tabiat bapa kanak-kanak itu yang menagih dadah," katanya yang memaklumkan keluarga mereka berasal dari Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut untuk mengetahui sama ada lelaki berkenaan adalah waris sebenar Rizky sebelum dia diserahkan di bawah jagaan pihak terbabit.

"Walaupun lelaki itu ada mengemukakan dokumen berkaitan bapa kandung kanak-kanak itu berdasarkan nama serta gambar mereka, namun siasatan perlu dijalankan mengikut prosedur ditetapkan," katanya.

Pada 6 Jun lalu, Harian Metro melaporkan Rizky ditinggalkan bapa kandungnya yang dikenali sebagai Mohd Faizal Adenan selepas dihantar ke unit kecemasan hospital berkenaan selepas kanak-kanak itu cedera parah di kepala akibat kemalangan jalan raya.

Lelaki itu bertindak menghilangkan diri ketika kanak-kanak berkenaan dalam rawatan dan gagal dikesan sehingga kini menyebabkan laporan polis dibuat pihak Hospital Serdang berhubung kejadian itu.

Rizky kemudian dihantar ke Wad Neuro Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan plastik berikutan kecederaan pada kepalanya selain pemeriksaan gigi dan tulang di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk menentukan anggaran usia kanak-kanak lelaki itu.

Pada 12 April lalu, Rizky dibenarkan keluar wad dan diserahkan kepada JKM Subang Jaya sebelum ditempatkan di Rumah Kebajikan Kanak-kanak BRDB Rotary sehingga penempatan tetap kanak-kanak itu ditetapkan.

Berita berkaitan

Kenapa ayah tinggalkan Rizky?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 1:37 PM