ORANG ramai termasuk warga Indonesia berbelanja dan membeli-belah di beberapa lokasi di Tawau bagi membuat persediaan menyambut Aidilfitri. FOTO/Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


KEDUDUKAN daerah ini yang berhampiran sempadan serta beberapa pulau di Indonesia, menyebabkan bandar Tawau menjadi tumpuan warga negara jiran itu untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri terutama pada cuti hujung minggu.

Ini kerana, bagi warga Indonesia khususnya penduduk Pulau Sebatik, Nunukan dan Tarakan, barangan yang dijual di beberapa lokasi serta pusat beli-belah di bandar Tawau lebih murah serta menawarkan lebih banyak pilihan untuk keperluan menyambut lebaran.

Perjalanan dari Pulau Sebatik di sebelah Indonesia ke Tawau mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 minit menggunakan bot laju, manakala perjalanan dari Pulau Nunukan dan Tarakan masing-masing mengambil masa sejam dan empat jam dengan feri.

Penduduk Pulau Nunukan, Darnawati Subari, 41, berkata setiap tahun dia akan ke daerah ini untuk membeli barangan kelengkapan bagi menyambut Hari Raya.

“Selain baju dan kuih raya, saya membeli kelengkapan rumah seperti permaidani, barang perhiasan dan langsir yang dijual pada harga istimewa dengan pelbagai pilihan warna serta corak yang terkini dan menarik.

“Saya sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli-belah kerana selain bermutu, harga jualan barangan di sini lebih murah dan berbaloi,” katanya.

Sementara itu, Suwarni Lamasapa, 53, dari Pulau Bunyu, Tarakan berkata, kemudahan perkhidmatan feri antara kedua-dua negara membolehkan ramai penduduk dari Indonesia datang berbelanja ke daerah ini.

“Kebiasaannya saya datang ke sini selama dua atau tiga hari. Selain membeli-belah kelengkapan raya, saya mengambil kesempatan berkunjung ke rumah keluarga di sini sebelum pulang semula ke seberang,” katanya.

Seorang lagi warga Indonesia, Wildayani Sugiman, 37, berkata, persamaan budaya antara kedua-dua negara khususnya di Tawau antara sebab mengapa dia memilih berbelanja di daerah ini.

“Kuih muih dan biskut raya yang dijual di sini tidak jauh berbeza dengan di Indonesia, malah lebih murah. Saya lebih suka beli kuih raya berbanding membuatnya sendiri kerana kekangan masa selain pelbagai pilihan yang ditawarkan,” katanya.

Antara lokasi tumpuan orang ramai mendapatkan barangan kelengkapan Hari Raya di bandar ini termasuk pusat beli-belah seperti di Eastern Plaza dan Parkwell, selain Pasar Sri Tanjung, Jalan Dunlop dan Jalan Masjid

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 2:54 PM