KELUARGA Allahyarham Mohd Arbai ketika ditemui di Kampung Sungai Tengar Utara, Sabak Bernam, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin.
Amirul Aiman Hamsuddin


“MAK, aku tak nak kereta jadi ‘rojak’ menjelang raya tahun ni. Biarlah aku baiki mana yang boleh.”

Itu antara kata-kata terakhir Mohd Arbai Abu Ngamat, 45, kepada ibunya, Rubias Abdul Ghani, 62, sebelum maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Tengar, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, tengah hari Jumaat lalu.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Proton Saga dipandunya merempuh kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Rubias berkata, dia tidak menyangka perbualan bersama anak sulung daripada enam beradik itu menjadi detik terakhir pertemuan mereka.

“Sebelum ini, arwah (Mohd Arbai) tidak pernah bercakap seumpama itu (baiki kereta). Namun, dalam tempoh dua bulan ini, arwah kerap membawa keretanya ke bengkel di Sungai Besar untuk dibaiki.

“Sejak itu, saya merasakan sesuatu tidak kena pada arwah dan rupa-rupanya ia petunjuk dia mahu pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Tengar Utara, Sabak Bernam, hari ini.

Rubias berkata, arwah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Chneh, Parit Baru Baroh itu disifatkan sebagai pendiam dan mengambil berat keadaan keluarga.

Katanya, sebagai anak sulung, arwah menguruskan segala keperluan keluarga terutama menjaga adik keempat yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 37 tahun.

“Malah, dia ibarat sumber kekuatan keluarga kami selepas suami meninggal dunia lima tahun lalu. Namun, ternyata Allah SWT lebih menyayanginya,” katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham, Nor Aliza, 39, berkata mangsa sempat menempah empat kilogram daging lembu dan tiga kilogram tulang lembu beberapa hari sebelum kejadian.

“Saya sempat bertanyakan arwah kenapa membeli daging dan tulang terlalu banyak. Arwah bagaimanapun hanya tersenyum dan memberitahu bukan kerap ahli keluarga berkumpul di rumah.

“Tidak sangka dia pergi terlalu awal seminggu sebelum Aidilfitri,” katanya.

Allahyarham Mohd Arbai yang berstatus duda meninggalkan dua anak, Muhammad Faizal Azim, 5, dan Muhammad Fariz Haziq, 4.

Berita berkaitan

'Ajal rempuh pikap'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 6:51 PM