AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Yahaya Mat Nor (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Fatimah Mat Noor pada program Majlis berbuka puasa dan sumbangan kepada anak yatim anjuran Koperasi Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam Daerah Manjung (PERSALAM) bersama Komuniti I Love Manjung di Seri Manjung. Turut sama Presiden Koperasi PERSALAM, Adenan Bakar (kiri). FOTO Noor Hidayah Tanzizi
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Yahaya Mat Nor (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Fatimah Mat Noor pada program Majlis berbuka puasa dan sumbangan kepada anak yatim anjuran Koperasi Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam Daerah Manjung (PERSALAM) bersama Komuniti I Love Manjung di Seri Manjung. Turut sama Presiden Koperasi PERSALAM, Adenan Bakar (kiri). FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


ENAM beranak dari Kampung Dato' Seri Kamarudin (KDSK), Manjung, hilang tempat bergantung selepas ketua keluarga mereka meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru, 2 Jun lalu.

Fatimah Mat Noor, 44, berkata, selepas suami, Allahyarham Ahmad Anis Abdul Ghani, 43, meninggal dunia, mereka sekeluarga hilang sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan termasuk perbelanjaan harian persekolahan anak.

Menurutnya, keadaan diri yang kurang sihat dan kerap diserang angin ahmar ringan menyebabkan dia sukar untuk bekerja bagi mengambil alih tugas arwah suami menyara keluarga.

Katanya, dia mempunyai enam anak termasuk dua anak berusia 20 dan 23 tahun daripada perkahwinan terdahulu, namun anak lelaki sulungnya sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

"Saya tidak bekerja dan bergantung dengan suami sepenuhnya yang sebelum ini bekerja sebagai tukang kebun di Institut Kemahiran Mara (IKM) Lumut dan selepas suami meninggal dunia, kami hilang punca.

"Saya mahu bekerja tapi keadaan kesihatan yang kurang baik tidak mengizinkan saya berbuat demikian lebih-lebih lagi pergerakan anggota badan bahagian kanan tidak berapa kuat kerana angin ahmar ringan yang kerap sejak lima tahun lalu dan semua kerja rumah, anak yang uruskan.

"Selain itu, saya juga ada talasemia dan begitu juga anak bongsu, Nur Aishah Shahmimi, 8, walaupun tidak membuat perpindahan darah tetapi dia perlu bergantung dengan ubat dan perlu ke hospital," katanya.

Fatimah ditemui pada program majlis berbuka puasa dan sumbangan kepada anak yatim anjuran Koperasi Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Malam Daerah Manjung (PERSALAM) bersama Komuniti I Love Manjung di Seri Manjung, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor dan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Fatimah berkata, bulan Ramadan ini rezeki mereka sekeluarga murah apabila ada pihak yang prihatin menghulurkan bantuan, namun dia buntu memikirkan nasib mereka enam beranak selepas ini.

"Biarpun dihimpit kesukaran sehingga belanja sekolah anak pernah terputus, amanat arwah suami supaya tidak mengabaikan pelajaran empat anak berusia lapan hingga 15 tahun.

“Terutamanya Muhamad Shahrul Nizam Abdul Hanis, 15, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran," katanya yang mendapat bantuan persekolahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400.

Sementara itu, Presiden Koperasi PERSALAM, Adenan Bakar berkata, keluarga Fatimah antara 150 mereka yang diraikan dalam program kali ke lapan anjuran pihaknya dengan menyumbangkan wang dan kuih raya sumbangan peniaga di bawah koperasi.

Katanya, tidak hanya menganjurkan bazar Aidilfitri setiap tahun sejak lapan tahun lalu di Seri Manjung, Koperasi PERSALAM juga menganjurkan program itu bagi meraikan dan memberikan keceriaan kepada mereka yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 11:45 AM