KEADAAN khemah yang menempatkan mangsa kebakaran. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming
cnews@nstp.com.my


LEBIH 50 keluarga mangsa kebakaran Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, dekat Tawau, tabah menjalani ibadat puasa di dalam khemah disediakan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai cabaran termasuk cuaca tidak menentu selain keadaan tidak selesa, mereka tidak kekok menjalani ibadat puasa.

Malah, mereka bakal menyambut Syawal di khemah yang didiami selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran hampir setahun lalu.

Keluarga berkenaan antara mangsa kebakaran yang masih tinggal dalam khemah berikutan tidak mampu membina semula rumah atau menyewa, selain masih menunggu ditawarkan kediaman menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dijanjikan kerajaan terdahulu.

Penduduk, Jausi Mohamad, 49, yang tinggal bersama suami dan lima anak di khemah itu berkata, ini pengalaman pertama mereka sekeluarga menyambut Ramadan dalam khemah berikutan tidak mampu membina semula rumah selain faktor kekangan kewangan.

"Tiada juadah istimewa ketika berbuka puasa atau bersahur. Saya hanya sediakan makanan apa yang kami mampu dan syukur anak-anak juga tidak cerewet kerana mereka tahu dan faham keadaan sekarang tidak sama seperti sebelum ini," katanya.


AHIRAH menyediakan juadah berbuka puasa. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Seorang lagi penduduk, Ahirah Amirul, 33, berkata, walaupun sedikit tertekan tinggal di dalam khemah yang sempit dan tidak selesa, mereka reda kerana tidak mempunyai pilihan selain khemah disediakan sebagai tempat mereka enam beranak berteduh.

Menurutnya, tiada persiapan Hari Raya dibuat walaupun lebaran berbaki beberapa hari sahaja lagi berikutan pendapatan suaminya sebagai buruh binaan yang tidak menentu.

"Saya sedih apabila setiap kali empat anak yang masih bersekolah kerap bertanyakan baju baharu untuk dipakai sempena Hari Raya yang bakal tiba.

"Mereka bagaimanapun akur dengan keadaan ketika ini selepas suami memujuk mereka supaya lebih fokus pada pelajaran," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Persatuan Kebajikan Anak Leluhur Negeri Sabah, (PERKALAS), Kahar Hussien ketika menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran terbabit berharap bantuan barangan keperluan harian selain juadah berbuka dapat meringankan sedikit beban mereka sepanjang Ramadan ini.

"Sebelum ini, hampir setiap bulan kami (PERKALAS) sebagai sebuah organisasi sukarelawan kerap melawat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran berkenaan.

"Kita juga berharap pihak berkaitan terutama kerajaan dapat bertindak segera dan membela nasib mereka dengan menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa," katanya.

Dalam kejadian pada 1 Julai tahun lalu, kira-kira 1,500 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 250 rumah membabitkan kawasan seluas 4,500 meter persegi di Kampung Hidayat, musnah dalam kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 12:13 PM