IKAN berterabur selepas lori ikan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 4, Jalan Telupid-Ranau, dekat Telupid, Beluran, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hazsyah Abdul Rahman


KIRA-KIRA dua tan ikan bertaburan di atas jalan raya selepas sebuah lori ikan terbabas di Kilometer 4, Jalan Telupid-Ranau, dekat Telupid, Beluran, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian 11.30 pagi itu, pemandu lelaki berusia 30-an itu hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan V Shivananthan berkata, sebelum kejadian pemandu terbabit dalam perjalanan dari Sandakan ke Kota Kinabalu bagi menghantar bekalan ikan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di tepi kanan jalan raya.

“Pemandu yang cedera kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid dan dilaporkan hanya cedera ringan.

“Lori terbabit pula mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shivananthan berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 6:13 PM