Ahmad Rabiul Zulkifli


IDEA kreatif pengusaha lemang di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu membakar lemang di dalam tempayan berbaloi apabila mampu menyediakan sebanyak 3,000 hingga 5,000 sehari.

Mazlan Md Adam, 52, berkata dia sudah mencipta teknik membakar lemang menggunakan tempayan sejak 11 tahun lalu tetapi tidak pernah mendedahkannya kepada umum.

“Selepas ramai yang membuat tohmahan kononnya saya menggunakan ilmu hitam untuk melariskan jualan lemang, saya mula mendedahkan teknik yang sebenarnya.

“Malangnya ada pula yang mengecam teknik itu kerana beranggapan ia membunuh tradisi membakar lemang cara tradisional,” katanya ketika ditemui, semalam.

Mazlan berkata, dia mempunyai empat tempayan untuk membakar lemang dan mampu menyediakan 3,000 hingga 5,000 lemang sehari.

“Jualan lemang pada tiga hari menjelang Aidilfitri ini memang meningkat, justeru saya terpaksa menggunakan teknik itu untuk memastikan permintaan dapat dipenuhi.

“Jika menggunakan teknik tradisional, kami hanya mampu menyediakan 100 batang lemang sehari," katanya.

Katanya, kelebihan lain menggunakan teknik membakar lemang di dalam tempayan itu ialah waktu lemang masak cepat berbanding teknik tradisional.

“Hanya sejam 30 minit waktu yang diperlukan untuk membakar lemang menggunakan teknik itu, sedangkan kaedah tradisional memerlukan empat hingga lima jam untuk masak.

“Paling praktikal menggunakan teknik itu kerana proses pembakarannya tidak cerewet atau menyebabkan pengeluaran asap yang banyak sekali gus memedihkan mata,” katanya.

Menurutnya, tukang bakar juga tidak perlu menunggu lama atau menjaga api kerana ia boleh ditinggalkan untuk masak sendiri.

Katanya, dia berniaga lemang itu sejak awal Ramadan sehingga menjelang musim haji dengan dibantu 15 ahli keluarga dan kenalan rapat.

“Seronok berniaga lemang pada musim raya kerana sambutannya luar biasa seterusnya mencetus suasana sambutan Hari Raya,” katanya yang menjual lemang pada harga RM5 hingga RM10 sebatang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 10:17 PM
MAZLAN (tiga kanan) melakukan proses membakar lemang di dalam tempayan yang mendapat sambutan di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu. FOTO/VIDEO Ghazali Kori
MAZLAN (tiga kanan) melakukan proses membakar lemang di dalam tempayan yang mendapat sambutan di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu. FOTO/VIDEO Ghazali Kori