ANGGOTA bomba menunjukkan jari kiri seorang peniaga yang terputus akibat tersepit dalam mesin pemerah tebu di bazar Ramadan berdekatan Masjid Beijing, Rantau Panjang, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Syaherah Mustafa
cnews@nstp.com.my


PENIAGA air tebu menerima nasib malang apabila kehilangan empat jari akibat tersepit dalam mesin pemerah tebu, hari ini.

Kejadian berlaku pada 3.55 petang apabila jari tangan kiri mangsa Hussin Abdullah, 55, yang berniaga di bazar Ramadan berdekatan Masjid Beijing, Rantau Panjang, tiba-tiba tersepit dalam mesin miliknya.

Ketua Balai Bomba Rantau Panjang Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian.

Katanya, sebaik sampai di lokasi, mangsa sudah dibawa oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) I, Kota Bharu.

“Mengikut saksi, ketika dibantu orang awam, mangsa dalam keadaan yang lemah dan separuh sedar.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan jari mangsa yang terputus daripada mesin itu lalu diserahkan kepada pihak keluarga mangsa.

“Melihat kepada keadaan, mangsa terputus empat daripada lima jarinya selain terdapat banyak darah pada mesin tebu itu,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa yang berasal dari Kampung Tasek dikatakan menjual air tebu di bazar berkenaan setiap kali Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Jun 2018 @ 10:28 PM