OPERASI dilakukan pihak polis berhampiran Tol Duta, semalam.
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sengaja tukar nombor plat palsu bertujuan mengelak nombor pendaftaran kereta dirakam kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ketika memecut laju di lebuh raya.

Itu antara taktik dan kesalahan dikesan polis menerusi Op Pelbagai sempena perayaan Aidilfitri, di Plaza Tol Jalan Duta di sini, bermula lewat malam hingga jam 2.30 pagi semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (Kepolisan Am/Siasatan/Sumber), Asisten Komisioner Md Dali Wahid, berkata tindakan pemandu kereta itu menukar nombor plat berkenaan di bahu lebuh raya menghala ke arah Selatan bagaimanaopun berjaya dikesan pihak berkuasa.

Katanya, suspek yang memandu kereta model Honda City berwarna biru itu bagaimanapun ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 108(3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor plat pendaftaran palsu.

“Bagi motosikal pula, 78 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

“Sebanyak 27 kenderaan terdiri daripada bas ekspres dan lori pula ditahan atas kesalahan memandu melebihi had laju,” katanya.

Beliau berkata sembilan pegawai kanan dan 32 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta enam anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut dikerahkan bagi memastikan kelancaran operasi itu.

“Kita ada tiga ‘checkpoint’ sebelum kenderaan terbabit ditahan di kawasan Plaza Tol Jalan Duta,” katanya ketika ditemui, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 12:07 PM