Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


PENIAGA berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini terhadap tuduhan membunuh seorang kontraktor, tujuh tahun lalu.

Tertuduh Syaiful Afikin Mohd Firus, 41, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa bersama-sama membunuh Saw Yiew Siang, 56, di kebun dekat Kampung Kubang Palas, Binjai, Kota Bharu antara 8 malam, 3 Oktober 2011 hingga 7.30 pagi, 4 Oktober 2011.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hamidah Mahmood, manakala tertuduh diwakili peguam Azahir Nasir.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Ogos depan untuk laporan bedah siasat mangsa.


SYAIFUL Afikin. FOTO Syamsi Suhaimi

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang kontraktor ditemui mati dalam keadaan menyedihkan apabila kepalanya dibungkus dengan kain manakala, kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang di kebun di Kampung Kubang Palas, Binjai.

Mayat ditemui suami isteri ketika mereka hendak mengutip sayuran di kebun itu.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki kerambit tanpa kebenaran di hadapan kedai runcit, Jalan Rambutan Rendang, Panji, pada jam 3.30 pagi, 11 Jun 2018.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin, manakala tertuduh diwakili peguam Azahir.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 12:26 PM