Keratan laporan Harian Metro membabitkan pembubaran BN Sarawak baru-baru ini.
Rohaniza Idris
roha@nstp.com.my

VETERAN UMNO mendesak pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) supaya membubarkan parti itu kerana ia tidak lagi relevan

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kepimpinan BN perlu membuat keputusan untuk membubarkan parti itu kerana semangat Perikatan yang dipelopori oleh UMNO, MCA dan MIC sejak awal merdeka sudah tidak ada pada parti itu.

Katanya, adalah lebih baik BN dibubarkan dengan rasmi dari membiarkan anggotanya menarik diri.

“UMNO yang menjadi peneraju utama BN sewajarnya bertindak memanggil mesyuarat Jawatan kuasa Tertinggi BN untuk membincang keputusan pembubaran BN,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas tindakan terbaharu empat parti komponen BN di Sarawak yang meninggalkan parti itu, Selasa lalu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar dari BN dan keempat-empat parti itu mewujudkan gabungan baharu, Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dengan pengunduran itu, BN kini hanya mempunyai empat parti komponen iaitu UMNO, MCA, MIC dan GERAKAN, manakala MyPPP masih belum diketahui statusnya berikutan masalah dalaman parti itu.

Mustapha berkata, Veteran UMNO berpendapat parti Melayu itu sendiri sekian lama memikul ‘biawak hidup’ parti komponen BN.

Katanya, parti komponen yang ada kebanyakannya menumpang kekuatan UMNO.

“BN kuat kerana UMNO kuat. Mereka merasakan UMNO lemah kerana dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN gagal memerintah. Mereka lupa UMNO mempunyai 54 kerusi di Parlimen.

“Siapa sebenarnya lemah? Sebenarnya mereka yang lemah. MCA, GERAKAN dan MIC sudah tidak mampu bangkit. Mereka hanya menumpang menang di kawasan majoriti Melayu. Jadi kalau ada suara-suara sumbang dari MCA dan Gerakan untuk memecat UMNO dari BN, bermakna mereka lupa sejarah dan tidak sedar diri siapa mereka selama ini yang menumpang tuah UMNO,” katanya

Beliau berkata, Veteran UMNO yakin parti itu mampu berjuang sendirian demi untuk agama, bangsa dan tanahair.

“Apa yang perlu ialah UMNO mesti kembali kepada matlamat asalnya sesuai dengan slogan Bersatu Bersetia Berkhidmat,” katanya.

Dengan penarikan diri beberapa parti komponen BN di Sarawak, katanya, ruang itu membolehkan UMNO untuk memasuki Sarawak.

“Sebenarnya UMNO telah lama wujud di Sarawak. Oleh kerana halangan dari PBB maka UMNO Sarawak terpaksa berdiam diri. Sekaranglah masanya UMNO Sarawak membuka sayapnya dan Veteran yakin rakyat Sarawak akan memberi sokongan kepada UMNO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 12:39 PM